fbpx
Dr. G. Rajasekaran ketika meninjau keadaan seorang remaja lelaki yang tinggal bersendirian di sebuah bengkel di Lukut, di sini, semalam. -IHSAN PENYANDANG

Remaja 13 tahun tinggal bersendirian di bengkel sejak seminggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Nasib seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dipercayai tinggal bersendirian di sebuah bengkel di Lukut, di sini, kira-kira seminggu lalu mendapat perhatian pihak berkuasa selepas aduannya diterima daripada orang awam.

Penyandang Dewan Undangan Negeri Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran berkata, pihaknya bersama kepimpinan setempat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bergegas ke lokasi aduan bagi meninjau sendiri keadaan remaja berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati remaja itu dipercayai tinggal di sebuah bengkel selepas enggan pulang ke rumah atas faktor peribadi. Menurut maklumat yang diperoleh, remaja terbabit sebelum ini tinggal bersama bapanya.

“Bagaimanapun, bapanya kini tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga kerana sedang menjalani hukuman penjara. Difahamkan, remaja itu hanya bersekolah sehingga berusia 12 tahun sebelum membantu bapanya bekerja di sebuah pusat mencuci kenderaan.

“Sepanjang tempoh seminggu lalu, pemilik bengkel berkenaan dikatakan membantu menyediakan tempat tinggal sementara sambil berusaha mengesan ahli keluarganya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Katanya, ibu remaja tersebut yang menetap di Melaka telah dihubungi dan sedang dalam perjalanan ke Port Dickson untuk bertemu serta memujuk anaknya, manakala neneknya yang tinggal di Pantai Mas turut hadir membantu proses rundingan bersama pihak berkuasa.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan kelangsungan hidup, keselamatan fizikal, dan kesejahteraan mental remaja tersebut.

“Pihak JKM sedang menjalankan siasatan terperinci dan menilai pelbagai aspek bersama neneknya untuk merangka penyelesaian terbaik. Ini termasuklah mempertimbangkan hak penjagaan waris yang layak, atau intervensi perlindungan alternatif di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 sekiranya situasi memerlukan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN