KUALA LUMPUR – Maestro muzik terkenal, Datuk M. Nasir dan syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd telah memfailkan saman terhadap MyTeksi Sdn. Bhd. berhubung dakwaan menggunakan nama dan jenama beliau tanpa kebenaran untuk pengiklanan minuman di platform syarikat itu.
M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Mohamed, 69, dan syarikatnya Luncai Emas selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Zulpadli & Edham di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 April lepas dengan menamakan MyTeksi selaku defendan tunggal.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan diperolehi media hari ini, Luncai Emas dan M. Nasir masing-masing selaku plaintif pertama dan kedua mendakwa defendan telah menggunakan nama dan jenama “M. Nasir” berkaitan penjualan dan promosi minuman kopi yang dipasarkan sebagai “Kegemaran M. Nasir” .
Promosi itu dibuat menerusi Instagram defendan tanpa kebenaran plaintif.
Menurut plaintif, pada 23 April 2025, defendan telah memuat naik hantaran dan menerbitkan satu iklan di Instagram melalui akaun rasmi defendan iaitu @grabmy dan @grabfoodmy yang memaparkan secawan dan setin kopi dengan setiap produk dilabelkan dengan tanda dan perkataan “GrabFood” dan “GrabMart” bagi tujuan mempromosikan penjualan produk atau perkhidmatan tersebut melalui platform defendan.
“Di samping iklan itu, kapsyen yang digunakan adalah “Kopi-kopi kegemaran M Nasir” diikuti dengan frasa “Dua-dua pun Grab ada” yang mana iklan dan penyataan tersebut secara langsung dan jelas merujuk kepada M. Nasir dengan menggunakan nama beliau dan seterusnya memberi gambaran bahawa produk atau perkhidmatan tersebut dihasilkan atau dikeluarkan M. Nasir,” menurut pernyataan itu.
Penyataan tersebut dengan jelas mencadangkan bahawa Dato’ M. Nasir menyokong atau mengendors produk atau perkhidmatan GrabFood dan GrabMart dan tindakan ini memberi kesan negatif terhadap nama baik dan M. Nasir kerana tiada sebarang kerjasama atau hubungan rasmi antara beliau dengan Defendan.
Pada masa sama, tindakan defendan ini adalah satu tindakan salah nyata (misrepresentation) dan telah menyebabkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan orang awam, pengguna media sosial, terutamanya pelanggan defendan dan peminat M.Nasir berkenaan penglibatan plaintif M. Nasir dengan defendan.
Pernyataan lanjutan turut menyatakan tiada sebarang penafian, penjelasan atau nota yang menyatakan bahawa rujukan kepada “M. Nasir” adalah merujuk kepada individu lain atau penyanyi itu tidak mempunyai sebarang penglibatan dengan defendan atau produk dan perkhidmatan yang dipaparkan dalam iklan tersebut.
Dakwa plaintif, penggunaan nama beliau dalam konteks komersial adalah jelas bertujuan untuk mempromosikan perkhidmatan dan penjualan produk yang ditawarkan oleh defendan dengan mengambil kesempatan terhadap nama baik dan reputasi yang sangat berharga M. Nasir tanpa kebenaran dan pengetahuan plaintif-plaintif.
Justeru plaintif-plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan RM3 juta, ganti rugi teruk RM2 juta, faedah dan kos serta perintah injunksi menghalang defendan, agen dan pekerjanya daripada menjual produk dan perkhidmatan menggunapakai nama dan jenama “M. Nasir” .
Sementara itu, mahkamah menetapkan pengurusan kes saman itu pada 29 Jun ini secara e-Review. – KOSMO! ONLINE














