Sedar atau tidak, pada hujung Disember lalu, beregu profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani telah menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bersama pemain-pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pada bulan berikutnya mereka terus meraih gelaran Indonesia Masters 2026 sekali gus menamatkan pergelutan prestasi serta kemarau selama setahun tanpa sebarang gelaran juara.
Minggu lalu, mereka juga berjaya meraih gelaran Terbuka Indonesia 2026 tidak lama selepas pulang dari kem latihan bersama pasukan BAM untuk persediaan Piala Thomas, sekali gus menamatkan kemarau 18 tahun negara meraih gelaran Terbuka Indonesia.
Bahkan, usai kem latihan bersama pasukan negara sempena Piala Thomas itu, Sze Fei-Nur Izzuddin yang sebelumnya melalui episod-episod suram antaranya pulang awal di Kejohanan Asia (BAC) tewas kepada beregu tidak ternama Thailand pada pusingan pertama terus menunjukkan konsistensi cukup mengagumkan apabila mara ke separuh akhir Terbuka Thailand (kejohanan pertama yang disertai selepas Piala Thomas pada Mei lalu), akhir Malaysia Masters, suku akhir Terbuka Singapura dan akhirnya berhasil menggenggam juara di Super 1000 Terbuka Indonesia.
Pasangan itu menamatkan kemarau 18 tahun beregu lelaki tanpa gelaran juara Terbuka Indonesia selepas kali terakhir dilakukan gandingan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari pada 2008. Lebih mengagumkan, dalam laluan bergelar juara itu, ‘DinFei’ menumbangkan No.1 dunia Kim Won-ho dan Seo Seungjae di separuh akhir sekali gus menjadikan pandangan yang mengatakan ‘tiada yang boleh kalahkan pasangan Korea itu lebih sekali’ sebagai dongeng semata.
Bagaikan ada satu tonik yang mengubah beregu profesional itu selepas menjalani latihan bersama. Mereka yang dijuluki ‘Team Tangan Kuat’ kembali menemukan bisa. Ternyata sinergi antara pemain profesional dan pasukan BAM memang menghasilkan sisi positif.
Jika disorot kembali, kehadiran mereka untuk berlatih di ABM pada Disember lalu itu adalah kerana latihan bersama tersebut sebahagian daripada program Road to Gold (RTG). Kementerian Belia dan Sukan serta Jawatankuasa RTG telah mencadangkan supaya pemain badminton naungan BAM menjalani latihan bersama pemain profesional bagi meningkatkan persaingan kompetitif.
BAM menyatakan terbuka dan setuju dengan cadangan tersebut. Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, sesi latihan bersama pemain profesional memberi nilai tambah besar kepada skuad kebangsaan, mahupun profesional khususnya dalam meningkatkan kualiti dan intensiti ‘sparring’ menjelang Terbuka Malaysia ketika itu.
Mengenai berlatih bersama menjelang Piala Thomas lalu pula, jurulatih beregu profesional, Teo Kok Siang berkata, sesi latihan bersama para pemain BAM diakui memang banyak membantu meningkatkan kembali prestasi Sze Fei-Nur Izzuddin.
“Saya rasa banyak membantu untuk kami dapat berlatih dengan pemain berkualiti tinggi. Saya berterima kasih kepada BAM kerana bagi kami masuk untuk ‘sparring’ dan bermain,” katanya memetik akhbar.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga menunjukkan keterbukaan yang jelas kepada pemain-pemain profesional apabila beliau turut memuat naik kemenangan FeiDin dalam media sosialnya. Seorang netizen menulis di ruangan komen foto dimuat naik Tengku Zafrul.
“Terima kasih TZA kerana beri sokongan penuh kepada pemain badminton kita. Untuk Thomas Cup tempoh hari FeiDin telah dibenar ‘masuk BAM’ dan telah membina kembali keyakinan mereka,” kata netizen chew_wenjie itu.














