fbpx

Mahkamah: Wan Saiful dapat pasport untuk ke Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Saiful ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. -Foto AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dibenar oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi mengikuti lawatan kerja delegasi Ahli Parlimen ke Jepun, akhir bulan ini.

Hakim Rozina Ayob membenarkan pasport beliau dilepaskan sementara daripada 23 September hingga 2 Oktober ini, bagi membolehkannya mengikuti urusan rasmi Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi ke negara tersebut.

Pasport Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu ditahan oleh mahkamah berikutan pendakwaan kes rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan Wan Saiful diarah memberi akujanji untuk menyerahkan salinan tiket pergi balik dan surat tambahan daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat sebelum berangkat.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful memberitahu mahkamah, pihaknya menerima surat daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat untuk membincangkan mengenai itinerari lawatan kerja itu pada 14 September ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide berkata, pendakwaan tidak membantah permohonan bagi pelepasan sementara pasport berkenaan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Februari lalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Wan Saiful turut didakwa meminta rasuah berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta daripada Kerajaan Malaysia secara pra kelayakan.

Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful didakwa meminta rasuah sekitar bulan April 2022 di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini.

Pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa menerima RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa menerima upah bagi membantu Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut yang bernilai RM232 juta.

Wan Saiful didakwa melakukan perbuatan itu di antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022 di CIMB Bank Cawangan Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Bukit Tunku di sini.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI