KUALA TERENGGANU – Niat murni Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, untuk mendermakan organ direstui keluarganya.
Bapa saudara arwah, Azlan Yahya, 58, berkata, hasrat Muhammad Syukri difahami biarpun sebelum ini tidak pernah memaklumkan telah mengikrarkan diri sebagai penderma organ kepada mereka sekeluarga sewaktu hayatnya.
“Kami sekeluarga termasuk ibu bapa dan isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli, 32, sepakat membenarkan organ arwah (Muhammad Syukri) didermakan.
“Ia pengorbanan terakhir arwah yang dikenali sebagai penyayang, sabar dan gemar menghulurkan bantuan sepanjang hayatnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Terdahulu Allahyarham Muhammad Syukri yang merupakan tukang masak di sebuah restoran di Kuala Berang, Hulu Terengganu meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pada kira-kira pukul 12.06 tengah malam tadi.
Kebenaran keluarga membolehkan proses pengambilan organ melibatkan buah pinggang, hati serta tisu seperti tulang dan kulit dilakukan bermula pukul 5 pagi, tadi.
Azlan berharap organ arwah yang didermakan itu dapat memberi sinar harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan.
Jenazah Muhammad Syukri yang merupakan bapa tiga anak berusia antara setahun hingga enam tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peroh, Hulu Terengganu selepas solat Isyak. – KOSMO! ONLINE














