fbpx
PELBAGAI menu yang ditawarkan di Mokoto Unagi Restaurant yang kebanyakannya berasaskan belut. – ISKANDAR ISHAK

Aneka sajian autentik Jepun berasaskan belut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAJIAN unagi atau belut merupakan antara hidangan tradisional yang paling dihargai di Jepun dan sering dianggap sebagai makanan istimewa yang melambangkan kemahiran tinggi dalam seni kulinari negara tersebut.

Di Malaysia, sajian utama belut masih belum begitu meluas dan lebih sering ditemui dalam masakan tradisional tertentu atau dihidangkan di restoran Jepun yang menawarkan menu autentik seperti unagi panggang.

Membawa sajian autentik Jepun berasaskan belut, Mokoto Unagi Restaurant di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur menjadi destinasi kulinari yang membawa keaslian rasa dari negara matahari terbit itu ke tengah ibu kota.

Berstatus mesra Muslim, restoran tersebut menggunakan khidmat cef Melayu, Mohamad Rosol Ibrahim sebagai salah seorang ketua cef.

Menurut pengurus restoran, June Lok, restoran yang telah beroperasi hampir 10 tahun itu menawarkan pengalaman menjamu selera yang unik dengan fokus utama kepada hidangan unagi atau belut air tawar Jepun. 

“Dengan suasana yang moden tetapi tetap mengekalkan sentuhan tradisional Jepun, restoran kami menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang ingin menikmati hidangan autentik dalam suasana santai dan selesa.

“Keistimewaan utama restoran ini terletak pada teknik penyediaan unagi yang menepati cita rasa Jepun asli,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Mokoto Unagi Restaurant, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

BELUT yang digunakan diimport khas dari Jepun.

Tambahnya, Unagi yang disediakan di restorannya merupakan belut hidup yang diimport khas dari Jepun.

Berkongsi tentang sajian, ketua cef kedua restoran itu, Mohamad Rosol memberitahu, unagi yang masih hidup hanya disiang selepas tempahan dilakukan dan kemudian dipanggang dengan teliti menggunakan teknik khas bagi memastikan teksturnya lembut di dalam dan sedikit rangup di luar.

Bagi menu utama, unagi akan disaluti sos asli resipi Cef Eksekutif yang juga Ungai Master Chef, Otani Shinichiro yang cukup menyelerakan. 

Hidangan ini bukan sahaja memikat selera, malah kaya dengan nutrisi, menjadikannya pilihan yang bukan sekadar lazat tetapi juga berkhasiat.

“Antara menu yang menjadi pilihan ramai di sini ialah unaju with liver soup, iaitu hidangan unagi panggang yang disajikan bersama nasi putih panas serta sup hati unagi yang memberikan rasa umami yang mendalam. 

“Bagi mereka yang ingin menikmati rasa asli unagi tanpa sos, menu shirayaki don adalah pilihan tepat kerana ia menampilkan unagi panggang kosong yang menonjolkan rasa semula jadi ikan tersebut,” ujanya.

Katanya lagi, hidangan ini sering menjadi kegemaran penggemar makanan Jepun yang menghargai kesederhanaan rasa.

MOHAMAD ROSOL menyediakan masakan unagi.

Selain itu, umaki atau omelet telur yang digabungkan dengan unagi turut menjadi antara menu popular. 

Gabungan kelembutan telur dan rasa manis unagi mencipta keseimbangan rasa yang memikat. 

Menu hone senbei pula menawarkan kelainan dengan hidangan tulang unagi yang digoreng rangup, sesuai dijadikan snek ringan yang unik. 

Bagi peminat makanan laut segar, set sashimi  yang disediakan di sini menjanjikan kesegaran dan kualiti premium.

Mohamad Rosol turut berkongsi, restoran itu juga tidak ketinggalan menawarkan variasi susyi seperti unagi maki sushi yang menggabungkan rasa unagi dengan nasi susyi yang lembut. 

Set tempura Set yang terdiri daripada campuran udang dan sayur-sayuran goreng pula memberikan tekstur rangup yang digemari ramai.

 Sementara itu, shirao salad atau salad ikan kecil (white bait) menyajikan pilihan yang lebih ringan dan menyegarkan, sesuai sebagai pembuka selera.

“Satu lagi hidangan menarik yang tidak boleh dilepaskan ialah hotaru ika, iaitu sotong kecil dari Jepun yang biasanya hanya tersedia mengikut musim bunga. 

“Hidangan ini memberikan pengalaman rasa yang unik dan jarang ditemui di restoran Jepun lain di Malaysia, sekali gus menambah nilai eksklusif kepada menu di Mokoto Unagi Restaurant,” ujarya yang turut menyediakan sajian bersama ketua cef, Hayashi Kazuhiko.

Dari segi suasana, restoran ini direka dengan konsep minimalis Jepun yang menenangkan. Penggunaan elemen kayu, pencahayaan lembut dan susun atur yang kemas memberikan pengalaman makan yang lebih intim dan selesa. 

Ia sesuai untuk pelbagai jenis kunjungan sama ada makan malam romantik, pertemuan keluarga mahupun sesi santai bersama rakan-rakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN