KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan menggunakan senjata tajam di sebuah kedai runcit di Taman Cheras di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira pukul 6.53 petang melalui talian MERS999 sebelum sepasukan anggota Unit Kereta Peronda dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, suspek lelaki warga Indonesia berusia 28 tahun berjaya ditahan di tempat kejadian dan polis turut merampas sebilah pisau berhulu kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden itu.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham berkaitan isu hutang.
“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian leher, belakang badan, kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, mangsa merupakan lelaki warga Bangladesh berusia sekitar 39 tahun dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Suspek direman selama 14 hari bermula 21 April hingga 4 Mei ini bagi membantu siasatan, manakala kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk bagi lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














