KUALA LUMPUR – Skuad badminton wanita negara mengesahkan slot ke peringkat kalah mati selepas membenam Afrika Selatan 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala Uber di Horsens, Denmark, hari ini.
Kemenangan bergaya itu turut menyaksikan skuad negara mempamerkan aksi cukup dominan, sekali gus memberi amaran awal menjelang pertemuan penting menentang Jepun esok.
Selepas dipaksa bekerja keras dalam perlawanan pembukaan sebelum ini, kali ini Malaysia tidak memberi ruang langsung apabila menguasai hampir keseluruhan perlawanan untuk memastikan kemenangan bergaya.
Perseorangan utama, K. Letshanaa membuka tirai cemerlang apabila mudah menewaskan Johanita Scholtz 21-6, 21-10 dalam aksi yang berlangsung sehala.
Momentum itu diteruskan oleh Wong Ling Ching yang turut mempamerkan aksi agresif untuk menundukkan Chloe Lai 21-8, 21-4, sekali gus menggandakan kelebihan buat Malaysia.
Siti Zulaikha kemudian memastikan mata ketiga menjadi milik negara selepas menewaskan Elme De Villiers 21-11, 21-5, sebelum beregu Ong Xin Yee-Carmen Ting menambah derita lawan dengan kemenangan 21-16, 21-14 ke atas Amy Ackerman-Johanita Scholtz.
Kemenangan bergaya Malaysia dilengkapkan oleh gandingan muda Low Zi Yu-Chong Jie Yu yang menewaskan Elme De Villiers-Anri Schoonees 21-12, 21-5 untuk menutup aksi dengan keputusan sempurna 5-0.
Mengulas prestasinya, Letshanaa mengakui kemenangan tersebut memberikan keyakinan tambahan menjelang aksi seterusnya yang lebih mencabar.
“Kemenangan ini memberi saya keyakinan untuk dibawa ke perlawanan menentang Jepun. Saya gembira kerana dapat kekal fokus sejak awal permainan walaupun lawan turut memberikan beberapa cabaran,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menurutnya, keserasian dengan kondisi gelanggang juga semakin baik selepas beberapa perlawanan dilalui di sini.
“Saya semakin selesa selepas dua perlawanan. Saya sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan angin, gelanggang dan kelajuan bulu tangkis,” jelasnya. KOSMO! ONLINE














