IMPIAN peminat bola sepak negara untuk menyaksikan dua pasukan Liga Malaysia (Liga M) bersaing dalam kancah Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tidak kesampaian selepas tidak diberikan slot tambahan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
AFC menerusi satu kenyataan mengesahkan cadangan untuk menaikkan lagi prestij kejohanan dengan menambah penyertaan ke 32 pasukan berbanding 24 pasukan pada musim depan sudah diluluskan.
Pada Mesyuarat Jawatankuasa Bola Sepak Profesional di Jeddah kelmarin, AFC memperkukuh landskap bola sepak kelab Asia dengan memberi penekanan terhadap peningkatan standard profesional melibatkan pertandingan kelab di seluruh rantau Asia.
“Antara perubahan paling ketara adalah pengembangan saingan ACLE yang bakal menampilkan 32 pasukan berbanding 24 sebelum ini bermula musim 2026/27.
“Langkah itu menyaksikan pengagihan slot kepada setiap negara ahli (MA) turut dikaji semula, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada kelab untuk bersaing di pentas tertinggi Asia,” kata kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, hasil keputusan mesyuarat tersebut, AFC memutuskan Malaysia kekal dengan kuota satu slot automatik ke saingan ACLE yang diberikan kepada juara Liga Super dan satu slot ke kancah ACL2.
Tambahan kuota di Zon Timur hanya diberikan kepada Jepun, Korea Selatan dan Thailand apabila tiga kelab semua negara terbabit diberikan slot automatik ke saingan ACLE bermula musim depan.
Bagi saingan musim depan, JDT sudah mengesahkan kelayakan untuk beraksi dalam kejohanan peringkat kelab paling berprestij di Asia itu buat musim kelapan berturut-turut selepas bergelar juara Liga Super musim ini.
Pada kempen ACLE musim ini, Harimau Selatan lolos ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada juara bertahan, Al-Ahli 1-2 pada perlawanan sengit, minggu lalu.














