MASA depan dan status sebenar Harimau Malaya dijangka akan diketahui September ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selesai menjalani kongres pemilihan pucuk pimpinan baharu.
Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, perkara berkaitan cadangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk memulangkan semula pasukan kebangsaan kepada FAM hanya boleh diputuskan oleh kepimpinan baharu.
“Betul, Datuk Seri Windsor pun ada cakap tentang kembalikan Harimau Malaya (kepada FAM). Saya nak buat sedikit pembetulan, memang ada semua dokumen di bawah skuad kebangsaan dan kita tahu tentang CEO (Ketua Pegawai Eksekutif, Rob Friend) semua di sana.
“Ini saya rasa salah satu perkara yang perlu diputuskan oleh Presiden dan Exco baharu, mereka perlu fikirkan untuk membuat keputusan,” katanya.
Windsor sebelum ini mencadangkan Harimau Malaya wajar dikembalikan FAM, bukannya dijaga oleh entiti luar.
Harimau Malaya sebelum ini dipalit isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Rentetan itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada September tahun lalu mendapati wujud unsur pengubahsuaian atau pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan tujuh pemain warisan.
FAM dikenakan denda CHF350,000, Harimau Malaya dipotong enam mata di pusingan kelayakan Piala Asia hingga gagal layak ke Piala Asia manakala semua pemain pula didenda CHF2,000 serta penggantungan selama 12 bulan.














