fbpx

Lin atasi cabaran sebelum berjaya dalam bisnes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIN berjaya mencapai kejayaan hasil perniagaan berasaskan kecantikan.

“MASIH segar dalam ingatan, hanya satu bungkusan sehari yang dapat dijual dan dihantar kepada pembeli ketika mula berniaga dulu.”

Itu antara situasi yang tidak pernah dilupakan Norhaslinda Rosli ketika baru menceburi perniagaan pada 2015.

Situasi getir tersebut berlarutan selama beberapa bulan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap pengasas Addar Global Sdn. Bhd. itu.

Ketika itu, dia terpaksa mencongak baki wang yang tinggal dalam akaun untuk meneruskan kehidupan dan bertahan sekiranya barang dijual masih tiada sambutan.

Norhaslinda atau lebih mesra disapa Lin berkata, jumlah jualan yang sedikit ketika itu bukanlah peluntur semangat kepadanya untuk bangkit mencapai kejayaan seperti hari ini.

Akuinya, apa yang diperolehi pada hari ini bukan satu yang mudah kerana memerlukan kerja keras, di samping kesabaran tinggi untuk berdepan risiko serta sebarang kemungkinan.

“Saya pernah mengalami masalah kewangan dan bebanan hutang yang teruk.

“Situasi itu membuatkan saya dipandang hina.

“Ketika itu, saya terfikir melakukan sesuatu untuk memastikan saya kembali bangkit.

“Perniagaan pertama yang saya lakukan adalah membuat kek dan menjualnya secara ‘part time’ untuk mencari pendapatan tambahan.

“Daripada kek baru saya memulakan perniagaan produk kecantikan jenama Addar Beauty,” katanya kepada Aura.

Meneruskan perkongsian, wanita berusia 44 tahun itu mengakui, dia tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran dalam perniagaan.

“Puncanya saya tiada ilmu berkaitan perniagaan dalam talian, pemasaran dan pengurusan sehingga menyebabkan saya mengambil masa dua tahun untuk menjual semua stok.

“Selain itu, saya pernah ditipu dengan individu yang kononnya hendak membantu perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan pemasaran, tetapi langsung tidak berhasil,” ujarnya.

Resah memikirkan keadaannya pada waktu itu, dia tetap meneruskan perniagaan, walaupun pelbagai cabaran yang mendatang.

Kemudian, dia memilih untuk menyertai beberapa seminar dan program perniagaan bagi menambah ilmu keusahawanan.

Ternyata, keputusan itu tepat apabila perniagaan Lin mula berkembang maju.

Menerusi rezeki yang diperolehi, dia berazam untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

“Saya berazam untuk membina masjid, menjadi pembayar zakat terbanyak dan mewakafkan tanah kubur.

“Di samping itu, saya mahu membantu keluarga dan kakitangan saya untuk berjaya di dunia serta akhirat,” katanya.

Lin turut berpesan kepada usahawan yang baru berniaga agar memberi fokus dan menguruskan perniagaan dengan betul.

“Kita perlu tahu ke mana hala tuju perniagaan. Adakah ia semata-mata mahu mengisi masa lapang atau kita ada visi serta misi lebih besar untuk perniagaan kita?

“Tidak kira perniagaan apa sekalipun, buatlah sesuatu yang kita suka dengan penuh keazaman sehingga memberi hasil terbaik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI