KUALA PILAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenalpasti kira-kira 40 saksi bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana untuk fisabililah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggarkan berjumlah RM230 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini seramai 11 saksi sudah dirakam keterangan berhubung kes tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan turut membabitkan kes pengubahan wang haram, selain kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 403 iaitu secara jenayah menggunakan harta secara curang.
“Saya tidak menolak berkemungkinan ada lagi individu (lain terbabit). Sekiranya ada mana-mana pihak terlibat bersubahat dan sebagainya, mereka ini berkemungkinan kita akan tangkap untuk menjelaskan adakah mereka mempunyai niat bersama-sama untuk mengubah wang haram ni.
“Wang ini telah disalahgunakan oleh NGO berkenaan untuk kegunaan diri sendiri dan faedah-faedah yang berkaitan dengan keluarga mereka dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang sempena Program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung, di sini, hari ini.
Ujar Azam lagi, setakat ini keseluruhan aset yang telah dibekukan membabitkan empat bidang tanah, tujuh unit rumah, tiga unit premis pejabat, 18 buah kereta dan pelbagai barangan berharga. – KOSMO! ONLINE














