fbpx
Keadaan rangka sebuah kereta Proton Wira di depan sebuah rumah terbengkalai yang terbakar di Jalan Pantai Perkasa, Bachok semalam. FOTO IHSAN POLIS

Wanita dicekup bakar sampah hingga merebak, rosakkan harta benda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Seorang wanita ditahan selepas dipercayai membakar sampah sehingga menyebabkan kebakaran semak dan rangka sebuah kereta di depan sebuah rumah terbengkalai di Jalan Pantai Perkasa di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, kebakaran yang bermula di kawasan semak berhampiran sebuah rumah terbengkalai merebak seingga ke kawasan penempatan penduduk lain.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati, pengadu telah dimaklumkan oleh saksi bahawa kawasan semak dan rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai sedang terbakar.

Menurutnya, pengadu bersama beberapa saksi telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati api sedang marak dan merebak ke arah kawasan berhampiran rumahnya.

“Kebakaran tersebut bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh orang awam. Siasatan lanjut mendapati, ada kesan pembakaran sampah di atas tanah milik seorang wanita tempatan yang terletak bersebelahan kawasan kejadian.

“Berdasarkan keterangan saksi, suspek dilihat melakukan aktiviti pembakaran sampah di kawasan tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Ismail memberitahu, kebakaran tersebut melibatkan kawasan lapang berdekatan rumah terbengkalai sehingga ke hadapan rumah pengadu.

Menurutnya, kebakaran itu turut menyebabkan tanaman termasuk beberapa barangan seperti pokok kelapa, rangka kereta jenis Proton Wira, kayu binaan dan pagar besi terbakar.

Tambahnya, wanita itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah terbakar sehingga membahayakan harta benda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN