fbpx
Salbiah ketika bercakap pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Golongan wanita paling ramai terima GeRAK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Usahawan wanita merupakan golongan paling ramai menerima bantuan kerajaan negeri Perak menerusi Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) iaitu seramai 505 orang penerima ataupun 60.48 peratus pada tahun lalu.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, peratusan itu memberi gambaran yang jelas bahawa wanita menjadi penerima manfaat utama bantuan geran secara one-off bernilai RM2,000 tersebut.

Bahkan, katanya, mereka berupaya memanfaatkan bantuan yang disediakan untuk memperkukuh aktiviti ekonomi masing-masing.

“Dalam konteks ini, bantuan berskala kecil tetapi bersasar seperti GeRAK terbukti berkesan dalam membantu usahawan wanita meningkatkan pengeluaran, memperbaiki kualiti produk serta menambah keupayaan memenuhi permintaan pasaran,” katanya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab soalan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) yang ingin tahu sejauh manakah keberkesanan program pembangunan wanita dan keusahawanan wanita yang dilaksanakan di Perak dalam membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.

Bagi memperluaskan impak itu, Salbiah berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan Geran Usahawan Perak Sejahtera PLUS (GeRAK+) iaitu geran padanan sehingga RM5,000.

Salbiah berkata, GeRAK+ memberi penekanan kepada pengembangan perniagaan ke tahap yang lebih mampan dan kompetitif.

“Pendekatan geran padanan ini juga secara tidak langsung menggalakkan komitmen bersama usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

“Selain bantuan kewangan, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) turut menumpukan kepada pembangunan kapasiti melalui pelaksanaan program latihan yang komprehensif merangkumi aspek pengurusan kewangan, pemasaran digital, pembangunan produk dan pembungkusan.

“Program-program ini dilaksanakan secara strategik melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita seperti Usahanita Negeri Perak, Persatuan Usahawan Spa Perak (SISPA) dan Pertubuhan Kasih Kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN