JAKARTA – Seorang penumpang wanita di Indonesia menerima kecaman orang ramai selepas merakam dirinya memasak mi segera menggunakan periuk elektrik di dalam kereta api, lapor portal berita Tribunnews.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @pikiranrakyat menunjukkan wanita bernama Murhani Purba itu memasak mi segera dengan santai di tempat duduknya.
Dia turut meletakkan sos cili yang dibawa dari rumah ke dalam makanannya.
Rakaman itu mencatatkan lebih 52,500 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai pengguna media sosial.
“Merakam dan menyiarkan kebodohan sendiri dengan bangga,” kata seorang netizen.
“Dalam kereta api ada jual mi segera,” kata pengguna media sosial lain.
Selepas klip video itu tular, Murhani tampil memohon maaf dan mengakui tidak tahu bahawa memasak di dalam kereta api adalah dilarang. – AGENSI














