PETALING JAYA – Harta intelek (IP) kini bukan lagi sekadar konsep perundangan, malah melangkaui peranan sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi, memperkukuh daya saing dan mencorak masa depan negara.
Seiring kepentingan ini, sambutan Hari Harta Intelek Negara 2026 (HHIN 2026) kembali dengan tema cukup signifikan, ‘Harta Intelek Nadi Malaysia Madani: IP & Sukan – Dari Idea ke Podium’.
Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, sambutan berlangsung dari 28 hingga 30 April di Menara MyIPO, di sini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, tetapi turut mengetengahkan peranan harta intelek dalam dunia sukan yang semakin berkembang pesat di peringkat global.
“Mengangkat tema ‘IP & Sukan’, HHIN 2026 memberi fokus kepada hubungan antara inovasi, kreativiti dan kejayaan dalam sukan. Hakikatnya, kejayaan seseorang atlet atau organisasi sukan tidak hanya bergantung kepada prestasi di gelanggang.
“Ia turut disumbangkan oleh ekosistem sokongan merangkumi teknologi, penjenamaan, kandungan digital dan hak penyiaran. Semua elemen ini bermula daripada idea,” katanya.
Beliau berkata, daripada rekaan kasut berteknologi tinggi, aplikasi latihan pintar, sehinggalah kepada pembinaan jenama atlet dan kelab, setiap inovasi memerlukan perlindungan harta intelek seperti paten, cap dagangan dan hak cipta.
“Perlindungan ini bukan sahaja memastikan hak pencipta terpelihara, malah membuka peluang komersial yang luas, termasuk pelesenan, kerjasama strategik dan pengembangan ke pasaran global.
“Inilah dimaksudkan dengan perjalanan ‘Dari Idea ke Podium’ yang mana idea dilindungi mampu berkembang menjadi kejayaan bertaraf dunia,” katanya.
Ujarnya, sepanjang tiga hari sambutan HHIN 2026, pelbagai aktiviti interaktif dan berimpak tinggi dirancang untuk menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, acara paling dinanti-nantikan pastinya Majlis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 yang akan berlangsung pada 30 April sebagai kemuncak sambutan.
“Diperkenalkan sejak 2006, AHIN satu platform berprestij yang mengiktiraf pencapaian cemerlang individu, organisasi dan institusi dalam memanfaatkan harta intelek sebagai pemangkin kejayaan,” katanya.
Bagi edisi 2026, enam kategori utama akan dipertandingkan iaitu Anugerah Organisasi Terunggul Harta Intelek, Anugerah Wira Inovatif (Paten),
Anugerah InoReka (Reka Bentuk Perindustrian), Anugerah Juara Jenama (Cap Dagangan), Anugerah Nadi Kreatif (Hak Cipta) dan Anugerah Permata Cilik.
Tahun ini turut menampilkan Anugerah Inspirasi Madani dengan memberi pengiktirafan kepada tokoh dan organisasi yang berjaya memanfaatkan harta intelek dalam industri sukan.
Antara penerima pengiktirafan termasuk organisasi sukan, syarikat tempatan serta tokoh atlet yang telah membina jenama kukuh dan memberi impak besar kepada negara.
Yusnieza Syarmila berkata, sejak diperkenalkan pada 2005, sambutan HHIN menjadi platform penting dalam memupuk budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyat, selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan berteraskan ilmu, inovasi dan nilai.
“Melalui penganjuran HHIN 2026, diharap lebih ramai rakyat Malaysia sama ada pelajar, usahawan, pencipta mahupun atlet akan memahami bahawa idea aset berharga perlu dilindungi dan dimanfaatkan,” katanya.














