fbpx

JBPM jumpa Premier Sarawak, mohon bina pangkalan udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Wahab pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bombda dan Penyelamat di Putrajaya, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengatur pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bulan hadapan berkait permohonan mendapatkan tapak tanah bagi pembinaan pangkalan udara di negeri berkenaan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, perancangan pembinaan itu dijangka memerlukan tapak tanah berkeluasan kira-kira lima ekar bagi kemudahan helipad dan menempatkan hangar pesawat.

Menurut beliau, fokus utama pembinaan pangkalan udara itu bertujuan mengembangkan lagi operasi udara jabatan serta selaras dengan pelancaran helikopter ambulans pertama, Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS).

“Kami amat berterima kasih kepada Premier Sarawak yang sudi untuk membantu JBPM dalam perancangan pembinaan sebuah pangkalan udara tetap bagi memberi perkhidmatanlebih luas kepada negeri Sarawak khususnya. Kita akan aturkan (pertemuan) paling cepat pada bulan hadapan.

“Memang jadi fokus utama kita untuk mengembangkan operasi udara kerana dapat mempercepatkan operasi menyelamat, bantuan penghantaran makanan dan juga selari dengan pelancaran EMARS,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan bagi Julai 2023 di Ibu Pejabat JBPM, hari ini.

Pada masa sama, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Sirim QAS Internation Sdn. Bhd. berkait kerjasama penyelidikan dalam menjalankan aktiviti pengujian sistem pepasangan dan perkakasan keselamatan kebakaran serta menandatangani kontrak perjanjian Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) bersama Iscada Net Sdn. Bhd.

Selain itu, Abdul Wahab turut menyaksikan penyerahan sebanyak lima unit ‘High Density Polyethylene Rescue Boat’ daripada Permodalan Nasional Berhad kepada JBPM bagi kegunaan ketika menghadapi musim banjir atau operasi penyelamatan di air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI