ALOR SETAR – Pelbagai taktik dilakukan oleh adik-beradik tamak termasuk ‘menyembunyikan’ harta milik arwah bapa semata-mata tidak mahu aset itu jatuh kepada saudara lain.
Itu yang dilalui seorang pesawah dikenali Ahmad, 60, apabila abang sulungnya yang berusia lingkungan 70-an bertindak ‘menyembunyikan’ sebidang tanah milik arwah bapa mereka yang sepatutnya difaraid.
Menurut Ahmad, dia yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik agak lewat menguruskan harta pusaka berkenaan ekoran pertikaian tentang pembahagian harta itu yang melibatkan adik-beradik lain.
“Abang sulung dan abang kedua yang banyak uruskan harta peninggalan arwah ayah, kebanyakannya tanah.
“Saya dan dua lagi abang mulanya enggan masuk campur kerana bila ditanya, mereka tuduh kami gila harta,” dakwanya.
Katanya lagi, arwah bapa mereka meninggalkan lebih 10 bidang tanah termasuk tapak rumah yang kini diduduki abang sulung dan abang kedua.
“Tanah lain pula adalah tanah sawah dan kebun, hasil padi juga banyak diuruskan oleh abang,” jelasnya.
Katanya, kerajaan kemudian membuat pengambilan sebahagian tanah sawah untuk projek pembangunan dan bermula dari itu, perbincangan pembahagian harta pusaka bermula.
“Kami adik-adik yang selama ini terpaksa mendiamkan diri membuat keputusan untuk faraidkan semua harta termasuk wang hasil pengambilan tanah itu nanti.
“Urusan faraid selesai, namun kami sekali lagi dikejutkan apabila abang cuba menyembunyikan satu geran tanah yang merupakan tapak rumahnya,” dakwanya.
Tambahnya, urusan faraid bagi tanah tersebut bagaimanapun dapat dilakukan selepas perkara tersebut terbongkar.
“Memang sedih bila berlaku pertikaian sesama adik beradik tetapi itulah yang berlaku apabila ada yang gelap mata dengan harta,” katanya.














