fbpx

3 lokasi cerapan hilal Syawal di WP dijangka tidak penuhi imkanur rukyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TARIKH sebenar 1 Syawal 1444 hanya akan diketahui menerusi pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja pada pukul 8 malam ini. - Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Ketiga-tiga lokasi pencerapan rasmi anak bulan Syawal 1444 di Wilayah Persekutuan pada lewat petang ini dijangka tidak akan memenuhi kriteria imkanur rukyah.

Malah menurut analisis data hilal diterbitkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi laman sesawang rasminya, senario tersebut meliputi stesen cerapan di Labuan

Berdasarkan kaedah hisab atau pengiraan falak yang dipaparkan, lokasi di pulau itu akan menyaksikan altitud atau jarak ketinggian bulan hanya di kedudukan satu darjah 44 minit.

Sementara elongasi atau jarak lengkung pusat bulan diunjurkan cuma dua darjah tujuh minit dan sekali gus kedua-dua ukuran tersebut jauh daripada imkanur rukyah ditetapkan.

Menurut kriteria diwartakan oleh kerajaan sejak 2021, altitud mestilah tidak kurang daripada tiga darjah manakala elongasi perlu melebihi enam darjah 24 minit untuk hilal diperakui.

Jadual disiarkan PMWP itu menunjukkan matahari terbenam pukul 6.26 petang dan diikuti bulan terbenam sembilan minit kemudiannya dengan usia bulan muda enam jam 23 minit.

Lokasi cerapan di aras bumbung tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan telah mula diwartakan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 2003.

Sebelum itu, tempat lihat anak bulan di pulau bebas cukai tersebut selama 15 tahun ialah dekat Kampung Sungai Pagar menerusi hasil Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 1987 lalu.

Tahun lepas, Labuan mencipta kejutan apabila berjaya mencerap hilal Syawal sehingga mencetuskan suasana panik ‘raya terkejut’ kerana ramai menyangka Aidilfitri pada lusa.

Bagaimanapun, ia bukanlah kali pertama Wilayah Persekutuan yang kedua itu dapat melihat hilal Syawal kerana kali terakhir pernah direkodkan pasukan cerapan pada 2012.

Mengulas lanjut, PMWP melaporkan anak bulan bakal menepati dua kriteria itu pada 21 April 2023 dan senario serupa turut melibatkan stesen di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dua lokasi tersebut ialah Menara Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kerana Wilayah Persekutuan belum ada balai cerap falak tersendiri.

Data yang dipamerkan agensi berkenaan bersumberkan penyelidikan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Justeru, PMWP memberi bayangan awal kemungkinan besar tarikh 1 Syawal 1444 ialah 22 April 2023 tertakluk pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja.

Malah, dapatan tersebut selaras dengan pandangan penasihat Persatuan Falak Syari’ Malaysia, Datuk Dr. Azhari Mohamed yang disiarkan Utusan Malaysia pada 15 April lalu.

Ia bagi menepis kenyataan Pusat Astronomi Antarabangsa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal bulan ini mendakwa konon seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri pada 21 April.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jupen dan pernah menjadi panel pakar falak rujuk Jakim berkata, pandangan pusat itu bukan pendirian sebenar oleh kerajaan UAE.

Ketika ini, terdapat 29 tempat cerapan rasmi diwartakan oleh Majlis Raja-Raja di seluruh negara sejak 2011 yang bertugas melihat kesemua 12 anak bulan Hijri sepanjang tahun.

Kompleks Baitul Hilal di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan merupakan lokasi paling kerap berjaya merekodkan hilal Syawal iaitu pada 1972, 1974, 1981 dan 2001.

TAMAT

Kapsyen: TARIKH sebenar 1 Syawal 1444 hanya akan diketahui menerusi pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja pada pukul 8 malam ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI