fbpx
ANZALNA NASIR

Tips bahagia Anzalna Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP pasangan yang berumah tangga pasti ingin mengekalkan kemesraan dan kebahagiaan rumah tangga. Begitu juga dengan Anzalna Nasir. Sepanjang melayari bahtera bernama perkahwinan, kehidupan Anzalna dan suaminya, Hanif Zaki diceriakan dengan kehadiran dua cahaya mata lelaki.

Seperti tiada secarit pun masalah, si cantik itu mengakui, rumah tangga mana yang tidak pernah terhindar gelombang, perselisihan faham pasti ada.

Pemilik nama lengkap Nur Anzalna Mohd. Nasir mengakui, salah faham atau apa jua pertentangan rasa pastinya menemukan penyelesaian. Pokok pangkalnya, kemesraan harus kembali disiram dengan kehangatan seolah-olah pasangan yang baru bercinta.

“Kami jenis walaupun sudah berkahwin, harus kekalkan hubungan seperti baru bercinta.

“Setiap kali bergaduh, saya dan suami tidak berlama-lama memendam rasa sebaliknya akan menyelesaikan masalah dengan cepat.

“Setiap kali berbalah, tolak ego ke tepi, duduk bersama-sama dan perbaiki apa yang kekurangan,” katanya kepada Pose baru-baru ini.

DI sebalik keterbukaan Hanif Zaki, Anzalna mengakui sering dinasihatkan suaminya itu agar tidak terlalu kerap berkongsi kisah rumah tangga dalam media sosial.

Bukan mahu berbangga dengan keharmonian yang diraih, namun sebagai isteri dan ibu Anzalna menitip sedikit perkongsian, tip mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.

“Kehidupan ini ada jatuh bangun yang kita tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan.

“Ada masalah simpan sendiri sahaja (jangan hebohkan) dan selesaikan kesulitan dengan pasangan masing-masing.

“Jangan simpan dalam hati dan sentiasa berbincang jika ada apa-apa kerana apabila terjadi sampai satu masa akan meletup,” jelasnya tanpa mahu terlalu berjela-jela bercerita tentang bahagia.

SINONIM dengan variasi fesyen jenama dalam dan luar negara, Anzalna kini sebagai ‘muse’ kempen raya pusat beli-belah Isetan di ibu negara.

Sempat dipujuk melanjutkan bicara, si jelita yang mudah ketawa menyarankan setiap pasangan suami isteri agar sentiasa menunjukkan ingatan terhadap pasangan masing-masing, tidak kira ketika berada dekat atau masing-masing-masing tinggal berjauhan

“Apa yang saya boleh cakap selalulah anggap pasangan kita sebagai insan yang terbaik.

“Tiada siapa boleh melawan dia dan kekalkan dalam ingatan ke mana sahaja pergi, selalulah fikir mengenai pasangan.

“Itulah yang akan kekal dalam minda saya setiap kali keluar ke mana sahaja, ada urusan kerja di dalam negara atau apatah lagi di luar negara” tutur pelakon yang pernah terkenal menerusi drama Dendam Aurora itu.

Enggan berlama-lama larut dalam topik rumah tangga, ibu dua anak itu berkongsi keterujaan dapat mengeluarkan koleksi pakaian jenama sendiri sempena perayaan Aidifitri tahun ini.

TURUT terkesan emosi dengan kes-kes perceraian yang hangat diperkatakan ketika ini, bintang filem Sepah The Movie itu turut mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan selebriti yang berdepan krisis rumah tangga.

Impian termakbul

“Sebenarnya saya sudah lama mengimpikan ada jenama sendiri dan koleksi raya ini berjaya dikeluarkan dalam masa tiga minggu.

“Saya buat dengan pereka fesyen Asyraf Zainal dan berbincang untuk mendapatkan kualiti terbaik,” luahnya gembira.

Tidak sahaja jenama sendiri, langkah 2023 Anzalna bertambah warna apabila dipilih menjadi duta kempen raya pusat beli-belah Isetan bertemakan Flora Nostalgia Raya dek susuknya yang sinonim dengan variasi fesyen.

Antara koleksi eksklusif yang mengisi kempen raya pusat beli-belah berkenaan termasuklah rekaan Tom Abang Saufi, Naelofar, Mimpikita, Rico Rinaldi, Kapten Batik, Variante dan banyak lagi.

Tidak terungkap kesyukuran, Anzalna sebenarnya seronok melihat wajahnya terpampang di sekitar Isetan sepanjang Ramadan dan Syawal ini.

“Saya rasa sangat gembira dapat menjadi wajah kempen raya Isetan. Saya teruja untuk berkongsi minat saya dalam fesyen dan gaya peribadi saya dengan orang ramai,” tutupnya.

Selain berpeluang bertemu peminat sepanjang promosi, Anzalna juga tidak sabar menunggu detik istimewa berbuka puasa bersama peminat yang akan diumumkan sedikit masa lagi.

Anzalna mengakui jarang berkongsi gambar suami sebaliknya lebih gemar bercerita tentang anak-anak menerusi laman sosial.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN