fbpx

Pembantu tadbir Felda dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan, denda RM68,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH (tengah) mengaku bersalah atas 10 pertuduhan memalsukan dokumen bayaran wang khairat kematian di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang pembantu tadbir Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dijatuhkan hukuman penjara selama 13 bulan dan denda sebanyak RM68,500 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas kesalahan memalsukan dokumen pembayaran wang khairat kematian berjumlan RM64,734 dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azlan Jainal, 36, mengaku bersalah atas 10 pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mokhtar.

Ahmad Zamzani turut memerintahkan bapa kepada empat anak itu membayar denda RM68,500 dan sekiranya gagal berbuat demikian tertuduh bakal berdepan dengan 29 bulan penjara.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Azlan mengaku bersalah atas 10 pertuduhan iaitu menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu 10 keping cek milik Felda yang dianggarkan berjumlah RM64,734 dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di Bank Islam Malaysia Berhad, di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, antara 26 Mac hingga 30 April 2021.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meniru tandatangan pengurus dan penyelia Felda bagi kesemua 10 keping cek terbabit tanpa pengetahuan orang lain.

Semakan mendapati terdapat 10 transaksi kemasukan wang ke dalam akaun tertuduh.

Tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak boleh sampai 20 tahun dan dikenakan denda.

Terdahulu, Mohd Azlan dalam rayuan meminta mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan wang itu digunakan bagi memudahkan urusan pentadbiran pejabat Felda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, memberitahu wang tersebut digunakan untuk membeli peralatan seperti mesin kira wang, meja komputer dan penyelenggaraan alat penghawa dingin, lampu dan sebagainya.

“Wang itu bukan digunakan untuk tujuan peribadi, tapi untuk tujuan kebajikan dan memudahkan urusan pentadbiran pejabat saya.

“Jika untuk peribadi saya pasti akan membayar hutang-hutang saya, tetapi sehingga kini saya masih membayar hutang tanpa menggunakan wang tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI