fbpx
Azman merakam gambar kenangan bersama isterinya di salah satu lokasi menarik di Thailand.

Pasangan suami isteri pusing ASEAN guna Kancil 660cc

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPASANG suami isteri berjaya menjelajah ke beberapa buah negara Asia Tenggara seperti Laos, Kemboja dan terbaharu di Thailand dengan menaiki Perodua Kancil 660cc.

Azman Ali, 49, berkata, siri jelajah dan eksplorasi ke beberapa buah negara tersebut dilakukan dengan menggunakan kereta terpakai yang dibeli pada tahun 2019 dengan harga RM1,500.

Kembara tersebut membuktikan bahawa kenderaan keluaran syarikat tempatan mampu bertahan lama sekiranya dijaga dengan baik.

“Asalnya kereta ini dibeli untuk kegunaan anak lelaki saya setelah memperoleh lesen memandu.

“Namun, selepas anak saya melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara Cawangan Permatang Pauh (Pulau Pinang), kereta ini jarang digunakan dan tersadai di rumah.

“Jadi, isteri beri cadangan supaya kami melakukan aktiviti kembara yang diminati sejak sekian lama dengan kereta Kancil ini.

“Saya menyahut cabaran isteri dengan rasa teruja,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, ekspedisi terbaharu ke Thailand bermula pada 3 Disember sehingga 22 Disember tahun lalu.

Jelasnya, ia melibatkan perjalanan sejauh 7,700 kilometer (km) dan semestinya menyimpan 1,001 pengalaman.

“Memang seronok dapat menjelajah ke negara orang kerana kami dapat mengenali budaya dan masyarakat setempat.

“Selain itu, ia dapat menginsafi diri apabila melawat ke kawasan yang boleh dikatakan tidak membangun dan terpinggir. Ini membuatkan kami lebih mensyukuri dengan apa yang ada di Malaysia.

“Pada masa sama, ia dapat menguji kesabaran diri apabila berdepan cabaran yang tidak terduga seperti cuaca buruk atau keadaan bentuk muka bumi berbukit.

“Keadaan ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada kereta Kancil yang diketahui bukan sebuah kenderaan lasak,” katanya yang sering ditemani isterinya, Nurul Sharil Iryani Ramli, 40, setiap kali melakukan aktiviti kembara.

Ditanya mengenai kos perbelanjaan sepanjang jelajah di Thailand tempoh hari, Azman berkata, dia mendapat tajaan daripada sebuah syarikat minyak dan pelincir tempatan.

“Jika tiada penaja, kos perjalanan hampir tiga minggu ini boleh mencecah sehingga RM5,000 termasuk perbelanjaan minyak kereta, penginapan bajet, makan minum dan lain-lain.

“Kadangkala jika mahu jimat, kami akan bermalam di dalam kereta sahaja. Bergantung kepada keadaan,” katanya.

Dia menambah, bagi memastikan kenderaannya itu sentiasa berada dalam keadaan baik, dia akan melakukan pemeriksaan rutin pada bahagian enjin, minyak enjin, tayar dan air pada setiap hari.

Azman bersama isterinya sewaktu menjelajah Thailand pada Disember tahun lalu.

“Sebenarnya, kereta Kancil ini adalah standard yang dianggarkan sudah berusia 25 tahun. Tiada modifikasi enjin dilakukan. Tempat duduk kereta pun masih bentuk asal.

“Cumanya, kalau kita jaga kenderaan itu dengan baik, maka kenderaan tersebut akan bertahan lama,” katanya yang memasang impian untuk menjelajah ke bumi Mekah, Arab Saudi menggunakan kereta Kancil bersama isterinya pada satu hari nanti.

Azman yang juga merupakan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkata, dia ingin menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

Ujarnya, berbekalkan usaha, semangat dan keazaman tiada yang mustahil dengan keizinan-Nya.

“Duit bukanlah segalanya. Jika kita minat, insya-Allah Tuhan akan permudahkan. Yang penting sikap dan minda perlu positif,” katanya lagi.

Sebelum melakukan aktiviti jelajah dengan kereta Kancil, Azman terlebih dahulu menggunakan motosikal berkuasa tinggi serta motosikal lasak.

Ini kerana, dia sangat meminati aktiviti menunggang motosikal bersama isterinya yang juga merupakan kakitangan kerajaan.

Dalam pada itu, Azman menyatakan bahawa kembara menggunakan kereta jauh lebih selesa berbanding motosikal terutamanya dari segi ruang, selain menjimatkan masa perjalanan.

“Kalau guna kereta, kita boleh angkut banyak barang sama ada cenderahati untuk dibawa pulang dan barang keperluan lain.

“Kalau motor pula agak terhad ruangnya. Dari segi masa rehat pula, kalau bawa motor kena berhenti lebih kerap sebab tangki minyaknya kecil dan kaki akan berasa lenguh.

“Jika guna kereta, nak makan, tidur dalam kereta pun boleh. Pun begitu, perjalanan dengan kereta lebih lama jika ada kesesakan atau jalan rosak.

“Ini kerana, kereta susah nak mengelak berbanding motosikal,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN