fbpx

Hospital Medan Malaysia di Turkiye operasi Rabu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumpulan ketiga OP STARLIGHT II berlepas ke Turkiye malam ini bagi memberikan rawatan perubatan kepada mangsa gempa bumi melalui pembinaan Hospital Medan Malaysia.

SEPANG- Hospital Medan Malaysia milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka memulakan operasi di Adiyaman, Turkiye pada Rabu depan bagi memberikan khidmat perubatan kepada mangsa gempa bumi di sana.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd. Dom berkata, operasi hospital medan itu akan menawarkan perkhidmatan perubatan bagi Tahap 1 dan 2 termasuk prosedur pembedahan.

“Aturgerak pegawai dan anggota OP STARLIGHT II dilaksanakan dalam tiga fasa penghantaran iaitu bermula 10 Februari 2023 dengan menggunakan pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat komersial.

“Kumpulan pertama melibatkan 36 pegawai dan anggota telah diaturgerak dengan dua buah pesawat A400M serta selamat tiba di Lapangan Terbang Gaziantep hari ini.

“Buat masa ini, kumpulan pertama sedang menunggu arahan untuk pergerakan ke kawasan bencana bagi mendirikan hospital medan di Celikhan, Adiyaman,” katanya kepada pemberita selepas menghantar kumpulan terakhir OP STARLIGHT II di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini tadi.

Katanya, kumpulan kedua melibatkan 34 pegawai dan anggota telah berlepas semalam menggunakan pesawat Turkish Airlines dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 10.44 pagi hari ini.

“Kumpulan kedua akan menunggu ketibaan kumpulan ketiga dan bersama-sama menaiki pesawat A400M ke Lapangan Terbang Gaziantep seterusnya melalui jalan darat ke lokasi hospital medan ditempatkan.

“Elemen Logistik Perubatan pula akan melibatkan sebanyak 7.3 tan aset dan diterbangkan ke Turkiye menggunakan pesawat Mas Kargo,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Noor Mohamad Akmar berkata, misi hospital medan itu dijangka mengambil masa selama enam minggu, namun akan dipanjangkan tempoh sekiranya diperlukan.

“Hospital medan itu akan ditempatkan di Celikhan, Adiyaman iaitu 152 kilometer dari Gaziantep yang merupakan kawasan paling terjejas.

“Ia akan mendapatkan bantuan koordinasi daripada kerajaan Turkiye dan akan mengkoordinasikan operasi bersama Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI