fbpx

MEF sokong keputusan Anwar tidak benarkan pengeluaran KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan rakyat membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya menghargai keputusan berani Perdana Menteri untuk tidak membenarkan pengeluaran KWSP sebelum mencapai umur persaraan susulan hanya tiga peratus rakyat Malaysia mampu bersara dengan selesa.

“Kita amat prihatin dengan pengeluaran simpanan KWSP baru-baru ini melalui skim pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran RM101.1 billion mendedahkan ahli KWSP berisiko jatuh ke dalam kemiskinan hari tua.

“MEF menyokong tindakan beliau dan alternatif lain perlu diambil bagi membantu mereka yang terjejas oleh pandemik Covid-19 dan banjir besar,” jelasnya dalam kenyataan.

Menurut Syed Hussain, keputusan berkenaan membantu memastikan kemampanan jangka panjang simpanan KWSP untuk usia tua dimana pencarum KWSP perlu mempunyai minimum RM480,000 simpanan untuk mencapai umur persaraan.

“Dengan penjimatan minimum sebanyak RM480,000 pada umur persaraan, pesara akan diinsuranskan sekurang-kurangnya RM2,666 sebulan untuk digunakan setiap bulan dalam tempoh lima tahun.

“Setelah pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, kira-kira 48 peratus ahli KWSP di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan yang sangat rendah dan mereka perlu bekerja selama empat hingga enam tahun lagi untuk menampung semula jumlah yang mereka keluarkan sepanjang tempoh Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan umur persaraan yang dijangka tidak dinaikkan, pekerja tersebut tidak akan mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi untuk persaraan mereka.

“Dengan Malaysia mencapai jumlah penduduk yang semakin berusia menjelang 2030 dan dalam semangat sebenar Malaysia Madani, kerajaan turut bertanggungjawab untuk memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang normal.

“Kerajaan perlu memikirkan skim lain untuk membantu mereka daripada mengeluarkan simpanan KWSP yang bertujuan untuk keperluan hari tua.

“Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada pekerja individu. Sebagai warganegara, sepanjang hayat dan kerjaya mereka, mereka telah banyak menyumbang kepada negara. Ia adalah peranan negara untuk menjaga mereka apabila mereka bersara,” katanya.

Dalam pada itu, MEF turut mencadangkan dasar semasa yang membenarkan satu pertiga pengeluaran selepas 50 tahun dan pengeluaran semua simpanan KWSP pada umur 55 tahun dikaji semula.

“Berdasarkan umur persaraan yang dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, tidak lagi relevan untuk KWSP membenarkan ahli mengeluarkan simpanan KWSP apabila mencapai umur 55 tahun.

“Seterusnya, berdasarkan situasi semasa perkara ini amat membimbangkan apabila mendapati bahawa hanya tiga peratus daripada rakyat Malaysia mampu bersara dengan selesa.

“Ini jelas bahawa terdapat keperluan segera untuk penyelesaian yang meluas meliputi program jaringan keselamatan sosial yang berkesan, dasar pasaran buruh yang kukuh, pertumbuhan ekonomi yang mampan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja serta dasar untuk menggalakkan automasi dan pendigitalan untuk membantu meningkatkan produktiviti dan menjadikan penguasaan ekonomi lebih besar supaya pekerja mempunyai peluang yang lebih baik untuk memperoleh lebih pendapatan, seterusnya meningkatkan caruman mereka kepada KWSP,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI