fbpx

1,500 mangsa rugi RM100 juta ditipu skim pelaburan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Menawarkan komisen tiga peratus setiap hari dan dinar emas sebagai ‘um­pan’ untuk menarik orang ramai menyertai skim pelaburan emas.

Tawaran menarik itu menyebabkan hampir 1,500 individu di negeri ini berputih mata apabila mereka bukan sahaja tidak menerima faedah dijanjikan selepas menyertainya pada tahun lalu, malah wang pelaburan berjumlah RM100 juta turut hangus.

Semakan mendapati, syarikat di ibu negara itu sudah menutup operasi pada Disember lalu.

Syarikat itu menawarkan pelaburan tunai serendah RM100 dan menggunakan konsep skim piramid yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda jika berjaya menarik lebih ramai peserta.

Ada orang kenamaan bergelar Datuk dan Tan Sri yang menanggung rugi mencecah ratusan ribu ringgit. Selain itu, kira-kira 300 mangsa pula dari Thailand.

Mangsa, Maziah Abu, 49, berkata, dia dilantik sebagai ejen oleh syarikat itu untuk mencari peserta menyertai skim tersebut dengan modal serendah RM100.

Menurutnya, dia yang tertarik dengan skim itu melabur RM40,000 apabila dijanjikan komisen tiga peratus setiap hari jika dapat mencari ‘downline’.

“Syarikat bayar RM20,000 sepanjang tiga bulan saya me­nyertai skim itu. Apabila mereka membayar semula modal, saya percaya ia berhasil. Bagaimanapun selepas itu, tiada pembayaran dibuat walaupun saya menarik ramai peserta dari Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Ramai peserta mula mendesak kerana wang mereka lesap. Ada yang melabur sehingga RM200,000. Saya tidak tahu bagaimana hendak bantu, saya pun jadi mangsa,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Maziah yang juga peniaga berkata, syarikat terbabit menjanjikan keuntungan dan dinar emas dalam tempoh tiga bulan, sebaliknya dua individu yang menguruskan skim tersebut ­hilang.

Jelasnya, syarikat menggunakan wang pelabur untuk membeli emas dan dijual semula apabila harga logam tersebut naik dan berkongsi keuntungan de­ngan peserta, malangnya wang modal itu lebur.

Seorang lagi mangsa, Fauziah Yacob, 50, berkata, dia tertarik dengan skim itu kerana insentif yang ditawarkan agak lumayan yang mana ia dibayar setiap hari menerusi akaun peserta.

“Pada mulanya, saya melabur RM10,000 dan mendapat untung. Lepas itu, saya tambah wang RM20,000, namun tidak mendapat komisen yang dijanjikan. Dinar emas dan wang tunai yang dijanjikan juga tiada,” katanya.

Fauziah pergi ke syarikat itu di Kuala Lumpur pada hujung tahun lalu, namun ia sudah ditutup.Ada peserta yang tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu menjejaskan reputasi mereka.

Sementara itu, seorang lagi peniaga dikenali sebagai Halim, 69, berkata, dia gelap mata untuk menyertai skim itu selepas melihat pendapatan seorang ejen mencecah RM1 juta sebulan.

Seorang mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas baru-baru ini.

“Saya melabur RM1,800 dan ejen beritahu dia meraih ribuan ringgit setiap hari selepas mencari peserta untuk melabur. Dia tayang pendapatan RM1 juta. Selepas dipujuk, saya bersetuju.

“Setakat ini saya langsung tidak mendapat bayaran tiga pe­ratus yang dijanjikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI