LUMUT – Satu mayat dipercayai mangsa bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ditemui kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di perairan Pulau Pangkor oleh pasukan penyelamat.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Muhamad Shukri Khotob berkata, mayat tersebut bagaimanapun tidak dapat dipastikan jantinanya.
“Maklumat lain seperti posisi penemuannya masih belum diterima,” katanya di sini hari ini.
Media pada Isnin lalu melaporkan mengenai sebuah bot disyaki membawa 37 orang PATI warga Indonesia tenggelam di kedudukan kira-kira 8.2 batu nautika barat Pulau Pangkor.
Sehingga hari ini, jumlah mangsa yang ditemui selamat adalah seramai 23 orang iaitu 16 orang Lelaki dan tujuh orang perempuan.
Seramai tujuh lagi mangsa masih hilang serta belum ditemui sehingga kini dan usaha pencarian masih giat dilaksanakan oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Sementara itu, Mohamad Shukri berkata, pencarian mangsa bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia di perairan Pulau Pangkor pada Isnin lalu diteruskan hari ini dengan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) melibatkan kawasan seluas 219.01 batu nautika persegi.
Katanya, operasi pencarian diperluaskan semalam sehingga 343.8 batu nautika persegi dari lokasi kejadian dan ia diteruskan secara menyeluruh dengan kerjasama semua agensi terlibat.
“Memasuki hari keempat pencarian, Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi meneruskan Op Carilamat bagi insiden tersebut.
“Operasi tertumpu kepada sektor-sektor pencarian di kawasan penemuan mayat mangsa yang berjaya ditemukan pada hari kedua. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama agensi sahabat akan terus komited melaksanakan operasi ini sehingga semua mangsa berjaya ditemui,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, pihaknya telah mengaturgerakkan aset iaitu KM Malawali dan Bot Perkasa 1238, dibantu oleh aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Aset berkenaan ialah KD Sri Indera Sakti, FCB 1002, FCB 1030, pesawat Fennec dan aset PSC 16, PSC 24 milik Pasukan Polis Marin (PPM) serta turut dibantu komuniti nelayan kawasan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














