DAIYAN TRISHA

Tindik hidung, Daiyan Trisha ‘memberontak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP individu yang bergelar anak seni pasti memiliki banyak impian untuk dilakukan dalam karier, apatah lagi setelah bertahun-tahun dalam industri hiburan.

Impian sama turut didambakan selebriti jelita, Daiyan Trisha.

Sejak aktif sekitar 2013 hingga kini, bintang yang dikenali menerusi naskhah bersiri Dee itu tidak pernah menyekat kemahuannya dalam berkarya.

Bukan hanya lakonan, Daiyan yang juga penyanyi turut meraih peluang bekerjasama dengan jenama mewah dunia.

Kendatipun dilihat terbang tinggi, siapa sangka, selebriti yang tidak lekang mengheret tas mewah itu masih mendambakan watak jalanan.

Sejak dari bangku sekolah lagi, impian menjayakan watak penuh amarah dan pemberontakan jiwa tersimpan rapi.

DAIYAN mengeluarkan bajet sendiri menempah rambut palsu demi menghidupkan watak Mia dalam Projek: High Council. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Itu alasan pemilik nama lengkap Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu untuk menyahut tawaran watak Mia dalam drama bersiri Projek: High Council.

Mia umpama impian menjadi kenyataan buat Daiyan. Sejak usia belasan tahun, watak gadis pemberontak seperti Mia menjadi dambaan Daiyan.

“Masa umur 16 tahun memang saya terfikir untuk jadi seperti Mia.

“Saya teringin untuk warnakan rambut masa sekolah dahulu tetapi ibu tidak bersetuju.

“Apabila dapat watak ini, saya keluarkan impian sewaktu remaja dalam diri,” katanya.

Tindik hidung

Untuk terjemahan watak gadis kuat melawan dalam drama tersebut, pelakon berusia 29 tahun itu akur menukar imej semata-mata untuk memenuhi kriteria karakter Mia.

“Saya cuba penuhi semua tuntutan watak, termasuk tindik hidung atau merokok.

“Cuma saya tidak tindik betul-betul memandangkan saya terikat dengan banyak jenama.

“Kebanyakan jenama yang diwakili memerlukan wajah saya berada dalam keadaan bersih. Disebabkan itu juga, saya mengekalkan warna rambut saya,” jelasnya.

Bukan hanya tindik hidung palsu, malah pelantun lagu Penat itu juga menukar warna rambutnya demi kepuasan menghasilkan watak dalam drama siri premium Projek: High Council.

KARAKTER terbaharunya, gadis kasar dan kuat melawan bernama Mia dalam drama bersiri Projek: High Council melengkapkan impian Daiyan Trisha sejak zaman remaja.

“Dalam siri tersebut, saya tidak warnakan rambut pun dan pihak produksi pula okey sahaja jika saya mengekalkan rambut asli untuk jayakan watak tersebut.

“Tetapi saya buat semua perkara termasuk menempah sendiri rambut palsu khas semata-mata untuk puaskan hati sendiri,” ujar bekas pengacara Muzik-Muzik itu.

Berkongsi lanjut, Daiyan selesa dikelilingi lelaki semasa menjalani penggambaran High Council memandangkan hanya dia pelakon wanita yang berada dalam drama siri tersebut.

“Saya paling tua dalam set penggambaran dan anggap mereka seperti adik-adik.

“Meskipun seperti adik-adik tetapi mereka bersifat melindungi terhadap saya.

“Mereka semua budak yang sangat baik dan tidak susah untuk bekerjasama.

“Semasa penggambaran juga saya tidak rasa bahaya walaupun dikelilingi hormon ‘testosteron’ (kelelakian),” tuturnya.

Takut kahwin

Ditebak soal jodoh, Daiyan tidak menolak jika rezeki kahwin datang dalam masa terdekat memandangkan ada beberapa lelaki yang cuba mendekatinya buat masa ini.

Tinggal lagi, dia perlu memilih lelaki yang benar-benar sesuai dengan dirinya.

“Buat masa ini, tiada calon yang sesuai dengan saya dan mungkin mereka tengok saya terlalu menakutkan.

“Bahkan, saya juga takut untuk berkahwin apabila mendengar kisah kontroversi rumah tangga yang berlaku pada masa ini.

DAIYAN akui, minat dan kerja kerasnya dalam bidang seni banyak didorong rasa untuk memenuhi banyak lagi kehendak peribadinya.

“Kemungkinan saya akan berkahwin dalam masa dua ke tiga tahun lagi kerana masih banyak yang belum dicapai.

“Saya ingin kembangkan bakat di luar Malaysia,” jelasnya.

Solo, minimum gosip dan kontroversi murahan, mungkin itu juga faktor segala kerja kerasnya selama hampir 10 tahun dalam dunia seni membawa hasil.

“Saya tidak kisah untuk bekerja kerana karier adalah minat saya. Saya sangat suka bekerja.

“Bahkan, saya juga buat semua ini kerana ibu memang ajar untuk capai kehendak sendiri,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN