fbpx

Mahkamah: 4 tahun Emilia Hanafi dipukul – Adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Emilia Hanafi (kiri) ketika hadir di Mahkamah Majistret sebelum ini. Gambar fail

KUALA LUMPUR – Bekas adik ipar Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa tujuh tahun lalu kakaknya pernah bercerita dia kerap dipukul suaminya secara berterusan selama tiga hingga empat tahun.

Elisa Nani Hanafi, 38, berkata, sepanjang perkara itu berlaku, Emilia Hanafi tidak pernah menceritakan kepada sesiapa dan meminta supaya perkara tersebut dirahsiakan.

“Pada 20 Oktober 2015, dia (Emilia) beritahu telah dipukul oleh Faisal dan berkongsi foto melalui WhatsApp. Emilia beritahu saya ia berlaku selama tiga hingga empat tahun (2011 hingga 2015) dan masih berterusan.

“Dia tidak memberitahu orang lain. Dia tidak mahu orang lain tahu dan meminta saya merahsiakannya,” kata saksi itu.

Pada masa sama, Elisa Nani dalam pernyataan saksinya mengesahkan pernah menerima gambar melalui WhatsApp daripada Emilia yang mana dalam gambar tersebut terdapat kesan lebam pada paha dan tangan wanita itu.

Tambah saksi itu, selain dipukul, kakaknya juga pernah menceritakan S. M Faisal pernah melempar pinggan sehingga berkecai.

Seperti yang diceritakan, insiden itu berlaku apabila Emilia memasak makanan sihat iaitu salmon dengan sos lemon, avocado, buah zaitun dan bayam kerana tahu S. M Faisal sedang berdiet.

“Apabila makanan dihidangkan, Faisal melempar pinggan ke arah Emilia dan pinggan itu berkecai.

“Faisal juga campak Emilia ke lantai beberapa kali selain mengoyakkan kad hari jadi dan mengunci bilik tidur mereka yang terletak di tingkat tiga supaya Emilia tidak boleh masuk,” kata saksi itu lagi.

Terdahulu, ketika membaca pernyataan saksinya, Elisa Nani turut berkata, selepas Emilia memberitahu tentang masalah rumah tangganya, sebagai adik dia menasihatkan wanita itu agar tidak berputus asa.

“Saya memberitahunya, dia (Emilia) adalah orang yang berkahwin dengannya (S.M Faisal) dan jika dia memutuskan untuk memperjuangkan dan menyelamatkan perkahwinan dia tidak harus berputus asa.

“Saya memberi jaminan bahawa akan menyokongnya tidak kira apa keputusannya,” kata saksi itu.

Sebelum ini, pada prosiding lalu, saksi itu memberitahu S. M Faisal merupakan satu-satunya teman lelaki kakaknya sewaktu zaman persekolahan sebelum mereka bernikah pada 2004.

Pasangan itu yang ketika itu berusia 15 tahun dan masih bersekolah berkenalan melalui Ezhan yang juga adik lelaki Emilia ketika bermain kasut roda.

S. M Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini pukul 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang, 22 November 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, manakala S. M Faisal diwakili peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung pada 5 Januari tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI