fbpx

Piala Dunia: Tragedi Jerman berulang kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JERMAN tersingkir di peringkat kumpulan untuk kali kedua berturut-turut selepas berdepan situasi sama pada edisi empat tahun lalu di Russia. – AFP

DOHA – Jerman perlu melakukan rombakan secara besar-besaran pasukan itu selepas mengulangi ‘badi 2018’ apabila tersingkir seawal peringkat kumpulan meskipun merekodkan kemenangan 4-2 ke atas Costa Rica pada saingan terakhir Piala Dunia awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, Jerman terpaksa bermandi peluh sebelum dapat meraih kemenangan hasil jaringan Serge Gnabry, Kai Havertz (dua gol) dan Niclas Fullkrug, tetapi ia masih belum cukup untuk membawa mereka ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Keputusan tersebut menyaksikan Jerman kekal di tangga ketiga dengan perbezaan jari­ngan bersama Sepanyol meski­pun kedua-dua pasukan me­ngutip empat mata.

Ketua jurulatih Die Mannschaft, Hansi Flick meng­akui pihak persatuan wajib me­lakukan ‘post mortem’ susulan tragedi yang boleh dianggap sebagai malapetaka dalam arena bola sepak negara itu selepas tersingkir awal buat kali kedua berturut-turut.

“Kita memiliki pemain bertaraf bintang yang beraksi dengan kelab terkemuka Eropah, tetapi ia masih belum cukup untuk memberikan saingan secara kompetitif di peringkat tertinggi. Mungkin kita perlu melakukan sesuatu yang berbeza pada sesi latihan.

“Malah, beberapa aspek perlu diberi penekanan khusus selepas ini seperti di benteng pertahanan kerana kita dibolosi banyak gol dan perlu mencontohi apa yang Jepun terapkan.

“Secara keseluruhan, saya mahu pasukan kembali kepada asas untuk berada dalam landasan sebenar,” katanya.

Sementara itu, Flick turut percaya Jerman masih memiliki masa depan yang cerah berdasarkan potensi yang dipamerkan oleh beberapa pemain muda seperti Havertz dan Jamal Musiala.

“Musiala adalah salah seorang pemain terbaik Piala Dunia kali ini dan sayang sekali dia tidak beraksi di peringkat kalah mati. Situasi sama juga melibatkan Havertz dan saya percaya kita memiliki prospek masa depan yang bagus,” katanya. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI