fbpx

PRU15: Pilih PN, BN boleh tersingkir bila-bila masa – Wan Rosdy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy (kiri) bersalaman dengan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu pada ceramah umum di pekarangan Pasar Besar Rompin malam tadi.

ROMPIN – Selepas kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjadi antara isu dibangkitkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, ceramah umum malam tadi menjadi pentas kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan kewajaran kerjasama tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, BN membuat keputusan memilih PH kerana parti itu selari dengan BN mengutamakan kestabilan negeri berbanding Perikatan Nasional (PN) yang lebih mengutamakan jawatan.

Beliau mendakwa keutamaan PN terhadap jawatan dapat dilihat apabila memulakan perbincangan dengan menawarkan beliau jawatan Senator yang akan dilantik menteri penuh dan mereka mahukan jawatan Menteri Besar, speaker dan lima exco serta tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik.

Sebaliknya beliau berkata, PH yang tidak meminta apa-apa syarat telah membuktikan keikhlasan bekerjasama demi kesejahteraan rakyat dan negeri.

“Saya nak beritahu saya bukan cerdik sangat, tetapi tidaklah bodoh sangat, saya kira-kira kalau setuju permintaan mereka (PN) dalam dewan kita ada 42 kerusi kalau setuju tawaran, mereka ada 22 undi yang boleh menyebabkan saya tersingkir pada bila-bila masa.

“Jadi (kalau terjadi) apa jadi kerajaan kerana kita nak tubuh kerajaan, kita nak teruskan kerja kita untuk rakyat Pahang, untuk kemakmuran dan kestabilan, banyak lagi agenda kita bukan untuk ‘politiking’,” katanya ketika berucap pada ceramah umum di pekarangan Pasar Besar Rompin di sini malam tadi.

Menurut Wan Rosdy, keputusan bagi memilih kerjasama dengan PH adalah merupakan keputusan parti dan bukannya keputusan peribadi beliau.

Jelasnya jika BN tidak membuat pendirian untuk bersama PH bagi menubuhkan kerajaan sudah tentu rakyat akan rugi kerana kerajaan negeri tidak dapat melaksanakan pelbagai agenda untuk rakyat.

“Saya beri penjelasan kerana saya dapati tuduhan seolah saya tak mahu bersama mereka dan kita tak mahu bersama mereka (PN) kerana mereka (PN) kenakan syarat terlalu ketat dan akhirnya agak sukar kita tadbir dan urus negeri berbanding dengan tawaran PH,”katanya.

Sementara itu beliau berharap pengundi DUN Tioman dapat memilih calon BN yang selari dengan kerajaan negeri dan pusat bagi membolehkan pelbagai agenda pembangunan dilaksanakan berterusan.

Jelasnya, banyak agenda pembangunan dilakukan seperti pembinaan lapangan terbang antarabangsa dan perancangan meneruskan laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rompin.

“Permintaan saya tuan puan kena undi calon BN kerana kalau undi calon BN DUN Tioman bermakna tuan puan undi kerajaan negeri yang telah ditubuhkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI