GUADALUPE – Sweden mempertaruhkan gandingan penyerang yang cukup digeruni, Alexander Isak dan Viktor Gyokeres menjelang aksi menentang Tunisia pada aksi pertama mereka di pentas Piala Dunia kali ini.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu dijangka berdepan tugas sukar dalam perlawanan pembukaan apabila Tunisia memiliki benteng yang cukup ampuh apabila tidak melepaskan sebarang gol sepanjang kempen kelayakan.
Gyokeres yang berusia 28 tahun tiba di Amerika Syarikat selepas membantu Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris dan gol lewatnya dalam kemenangan playoff 3-2 ke atas Poland memastikan Sweden layak ke Piala Dunia.
Rakan gandingannya, Isak mungkin bergelut dengan masalah kecederaan sejak menyertai Liverpool, namun pada hari terbaiknya, pemain berusia 26 tahun itu memiliki gabungan kelajuan dan kemahiran yang mampu menyukarkan pertahanan terbaik dunia.
“Alex melalui tempoh yang sukar di Liverpool kerana kecederaan, tetapi pemain itu tidak berubah, kualitinya tidak berubah, dia masih seorang pemain yang sangat, sangat berkualiti,” kata jurulatih Sweden, Graham Potter, menjelang Piala Dunia.
Isak perlu menggunakan segala kualiti menembusi benteng Tunisia yang begitu kukuh ketika kempen kelayakan, malah mereka turut memenangi sembilan perlawanan dan seri satu untuk melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Sweden menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan dengan hanya dua mata, sebelum berjaya layak menerusi talian hayat playoff Liga Negara-Negara Eropah.
Sejak itu, Potter berjaya mengembalikan kestabilan pasukan Sweden dengan memperkukuhkan organisasi pertahanan serta mendapat sokongan daripada pemain sayap kreatif seperti Lucas Bergvall, Anthony Elanga dan Benjamin Nygren.
“Kami tahu bahawa bukan mudah untuk memenangi perlawanan dalam bola sepak antarabangsa, tetapi pada masa yang sama, anda perlu mempunyai keyakinan bahawa anda mampu memenangi mana-mana perlawanan,” kata Potter. – AGENSI














