JOHOR BAHRU – Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor menzahirkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk terus mengetuai BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dan seterusnya menerajui kerajaan negeri.
Ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat Pemuda BN Johor yang berlangsung di Johor Bahru semalam, sekali gus memperlihatkan sokongan padu sayap pemuda parti komponen BN menjelang PRN Johor.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, keyakinan tersebut berasaskan rekod pencapaian kerajaan negeri di bawah kepimpinan Onn Hafiz yang disifatkan berjaya memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Johor.
Menurut beliau, Johor kini muncul antara negeri paling berdaya saing di negara ini menerusi pencapaian dalam aspek pelaburan, pembangunan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan premium, pembangunan perumahan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Pencapaian ini membuktikan Johor berada di landasan tepat untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan itu turut ditandatangani Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li, Ketua Pemuda MIC Johor, Mohan Arunachalam serta Ketua Pemuda PPP Johor, Dr. Vinesh.
Sementara itu, Pemuda BN Johor memaklumkan jentera mereka kini berada dalam keadaan siap siaga dengan pelbagai persiapan sedang dipergiatkan termasuk penyusunan portfolio gerak kerja pilihan raya, pengukuhan komunikasi strategik serta usaha memperkukuhkan penguasaan media digital.
Mereka turut menegaskan komitmen untuk terus menjadi antara tonggak utama kekuatan jentera BN dengan menggerakkan tenaga anak muda secara tersusun, agresif dan berkesan sepanjang kempen PRN Johor nanti. – KOSMO! ONLINE














