KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi berkata, pemilihan Onn Hafiz yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap tersebut berikutan pertimbangan kepimpinan parti serta keyakinan terhadap kemampuan pentadbiran Johor sedia ada.
“Insya-Allah atas perkenan Tuanku (Sultan Johor, Sultan Ibrahim) kita akan mengekalkan ‘poster boy’ yang sedia ada iaitu Menteri Besar Johor (Onn Hafiz),” katanya selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN akan terus mengekalkan pendekatan konsisten dalam memilih calon yang mampu membawa kesinambungan pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan pembubaran DUN Johor telah mewujudkan persepsi kononnya BN dan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai kesepakatan politik.
“Kerajaan negeri Johor adalah kerajaan Barisan Nasional, bukan kerajaan Perpaduan. Ia terbentuk sebelum kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional,” katanya.- KOSMO! ONLINE














