fbpx
TUANKU Syed Sirajuddin (tiga dari kanan) berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra, Kangar hari ini. - Foto JAPEN

Abu Bakar perlu diberi ruang pimpin negeri – Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah diberikan ruang untuk terus memimpin negeri itu sehingga akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15.

Baginda bertitah supaya ruang itu diberikan tanpa ada sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan pembangunan negeri yang telah dirangka.

“Beta ingin mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bahawa kerajaan ini adalah kerajaan beta. Justeru, beta berharap agar mamanda Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga akhir penggal Dewan Undangan Negeri yang ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang telah dirangka,” titah baginda.

Titah Raja Perlis itu disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.

Titah Tuanku Syed Sirajuddin, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan peribadi.

“Kestabilan politik merupakan satu kriteria yang sangat penting yang akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur untuk melabur di negeri ini. Justeru beta menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian mengenepikan ego masing-masing dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri beta,” titah baginda.

Baginda bertitah mengingatkan supaya segala perbezaan pandangan dan pertelagahan diselesaikan secara berhemah dan harmoni demi memastikan kelancaran pentadbiran negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN