fbpx

DUN Tioman, pentas tebus maruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Calon BN, Johari (dua dari kiri) berikrar untuk mempertahankan kerusi DUN Tioman.

ROMPIN – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang sebelum ini dianggap biasa dan kurang diberi perhatian kini menjadi kerusi yang amat bermakna antara Barisan Nasional (BN) dan juga Perikatan Nasional (PN).

Kedua-dua parti utama itu kini menganggap kerusi ber­kenaan yang menyaksikan pertembungan lima penjuru mesti dimenangi demi survival parti masing-masing.

Selepas penamaan calon semalam kerusi DUN berkenaan menyaksikan pertembungan antara penyandang Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd. Johari Hussien; Pakatan Harapan (PH), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly; Bebas, Sulaiman Bakar; Parti Pejuang Tanah Air, Osman Bakar dan calon PN, Nor Idayu Hashim.

Bagi BN sudah tentu kemena­ngan di kerusi terakhir dipertandingkan di Pahang itu amat ditagih bagi memastikan mereka dapat menyeimbangkan perolehan kerusi DUN yang kini didahului PN dengan 17 kerusi, manakala BN pula 16 kerusi.

Kemenangan kerusi itu amat signifikan dalam menentukan Menteri Besar sekiranya BN mahu bergabung dengan PN bagi merealisasikan kerajaan negeri.

Malah jika tidak bersama PN sekali pun kerusi berkenaan penting bagi maruah BN yang sebelum ini menjadikan Pahang deposit tetap Pahang apatah lagi kerusi DUN Tioman merupakan kawasan luar bandar yang majo­ritinya Melayu.

Mohd. Johari berkata, kemenangan di kerusi berkenaan amat bermakna sekali bagi memberikan keseimbangan perolehan kerusi antara Pas dan UMNO ia­itu masing-masing 17 kerusi.

Justeru katanya, beliau bersama dengan jentera BN akan bekerja keras bagi memastikan kerusi DUN berkenaan berjaya dipertahankan sekali gus me­nyumbangkan kerusi yang signifikan kepada UMNO.

“Saya melihat bebanan berat saya pikul kerana kali ini bukan sahaja melibatkan kawasan saya tetapi seluruh mata memandang daripada negeri dan seluruh negara.

“Saya sangat mengharapkan bantuan rakan luar sana, pusat dan negeri untuk membantu calon berkempen sehabis baik semaksima mungkin sehingga hari untuk membuang undi,” kata beliau yang bertanding di kerusi berkenaan bagi penggal keempat.

Rosli (kiri) menyatakan sesuatu kepada calon PN, Nor Idayu (dua dari kiri) untuk merampas kerusi DUN Tioman daripada BN.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, kemenangan kerusi DUN Tioman ini amat penting bagi menambah majoriti kemenangan PN dalam kerusi DUN di Pahang.

Katanya, dalam keadaan gelombang tsunami politik Melayu, PN semestinya menaruh harapan besar bagi memenangi kerusi berkenaan sekali gus menjarakkan lagi dengan BN.

“Pada masa ini seluruh negara fokus kepada Tioman kerana kita menang 17 kerusi dan BN menang 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) lapan kerusi, maka sudah pasti kita fokus tambah satu kerusi lagi kerana tidak mahu kedudukan kita dan BN sama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI