TANAH MERAH – Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang ditunjangi Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan menghantar calon daripada Wawasan untuk bertanding pada kedua-dua PRN itu.
“Kita akan bertanding guna logo PN dan akan lihat perkembangan seterusnya. Setakat ini, memang guna logo PN (calon Wawasan),” katanya pada sidang akhbar selepas Konvensyen Reset Malaysia di Tapak Ekspo Taman Harmoni di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi memberitahu, pihaknya akan mengumumkan perkara besar di Negeri Sembilan malam ini termasuk beberapa tokoh daripada pelbagai parti akan menyertai PN.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Hamzah Zainudin menubuhkan Parti Wawasan Negara selepas dipecat Bersatu pada Februari lalu.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Larut, nama Parti Wawasan Negara itu diberikan oleh Tan Sri Abdul Hadi baru-baru ini.
“Ramai yang tanya saya, apa parti saya selepas dipecat Bersatu. Di sini, saya ingin umumkan bahawa saya akan bersama-sama dalam Parti Wawasan Negara.
“Nama itu diberi oleh Ayah Chik (Abdul Hadi). Parti ini baru dilahirkan dan baru bertatih. Kami mahu bersama-sama dengan Pas, Gerakan dan parti-parti lain. Insya-Allah, kita akan bersama-sama membentuk kesepakatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














