fbpx
Isu pelarian etnik Rohingya perlu ditangani secara sistematik dan berkesan. - Gambar Hiasan

Pusat transit pelarian mampu imbangi keselamatan, prinsip kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Penubuhan Pusat Transit dan Penempatan Pelarian Bersepadu dilihat mampu menjadi pendekatan lebih tersusun dalam menguruskan isu pelarian termasuk Rohingya di negara ini tanpa mengabaikan aspek keselamatan serta kepentingan rakyat.

Ahli Dewan Tertinggi Putra, Mohamed Shahrin Ismail berkata, Malaysia sememangnya mempunyai rekod panjang dalam memberikan perlindungan sementara atas dasar kemanusiaan kepada pelarian yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan di negara asal.

Mohamed Shahrin.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan jumlah pelarian dan pendatang tanpa dokumen sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menimbulkan kebimbangan rakyat berkaitan keselamatan, peluang pekerjaan, kemudahan awam dan kos pengurusan negara.

“Malaysia perlu terus berpegang kepada prinsip kemanusiaan, namun pada masa sama memastikan setiap dasar yang dilaksanakan tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara,” katanya.

Sebelum ini, KDN memaklumkan kerajaan masih tidak mempunyai data menyeluruh berhubung jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu yang berada di negara ini atas kapasiti sebagai pelarian atau pemegang kad UNHCR.

Mohamed Shahrin yang juga Ketua Penerangan Putra Selangor berkata, pusat transit yang dicadangkan itu boleh menempatkan semua pelarian berdaftar sementara menunggu proses penempatan semula ke negara ketiga di samping memudahkan pemantauan kerajaan.

Katanya, penggunaan sistem biometrik, pemeriksaan keselamatan dan pangkalan data berpusat dapat membantu memastikan pengurusan pelarian dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan.

“Pusat berkenaan juga boleh menyediakan kemudahan asas termasuk tempat tinggal, pendidikan kanak-kanak, rawatan kesihatan dan latihan kemahiran sementara,” ujarnya.

Ketua Bahagian Putra Sepang itu turut berpandangan bahawa kos operasi pusat tersebut tidak seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh Malaysia, sebaliknya dikongsi bersama UNHCR, negara penderma serta pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan tempoh tertentu ditetapkan bagi proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga selain audit menyeluruh dilaksanakan bagi membezakan pelarian sebenar dan pendatang ekonomi yang menyalahgunakan status berkenaan.

Berdasarkan statistik UNHCR setakat April 2026, terdapat 219,472 pemegang kad UNHCR di Malaysia dengan 197,591 daripadanya warga Myanmar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini menegaskan isu pelarian perlu ditangani secara bijaksana dengan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan negara dan prinsip kemanusiaan tanpa berkompromi dalam aspek keselamatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN