fbpx

28 tan daging kerbau dari India dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasa MAQIS memeriksa daging kerbau sejuk beku yang dirampas. - FOTO IHSAN MAQIS

SEBERANG PERAI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 28 tan daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM270,000 di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini hari ini.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa jabatan berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bahan dagangan yang diisi dalam 1,167 kotak itu menggunakan maklumat yang mengelirukan.

“Maklumat pada sijil kesihatan dan sijil halal yang dikeluarkan dari negara pengeksport adalah tidak tepat dan berbeza.

“Justeru, barangan dagangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberikan maklumat mengelirukan dalam pengimportan di bawah akta terbabit.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu jelasnya, anggota penguat kuasa MAQIS akan terus melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan produk yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

“Tindakan itu bagi memastikan keluaran pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI