fbpx
Seekor harimau kumbang yang dikesan berkeliaran di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu kelmarin.

Harimau kumbang makin kerap muncul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Orang ramai semakin takut untuk berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pengkalan Gawi dan sebuah stesen minyak di sini selepas seekor harimau kumbang dikesan kerap muncul di kawasan itu sejak 4 Julai lalu.

Terbaharu, haiwan liar tersebut muncul pada malam Sabtu lalu.

Seorang penduduk, Mohd. Roslan Rosman, 45, berkata, kemun­culan harimau kumbang tersebut menyebabkan kawasan R&R Pengkalan Gawi semakin lengang sejak akhir-akhir.

“Ramai pengguna jalan raya tidak berani berhenti berehat di R&R Pengkalan Gawi kerana bimbang terserempak dengan haiwan liar terbabit.

“Bukan sahaja mereka, saya yang bekerja di lapangan sebagai pekerja penyelenggaraan pun takut-takut dengan ancaman harimau kumbang berkenaan,” katanya di Pengkalan Gawi di sini semalam.

Mamat Abdullah, 60, pula mendesak tindakan segera pihak berkaitan untuk menangkap haiwan buas terbabit.

Katanya, biarpun kawasan tersebut berhampiran Hutan Simpan Hulu Telemong dan Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan yang menjadi habitat haiwan liar, Pengkalan Gawi antara laluan tumpuan ramai terutama dalam kalangan pengunjung Tasik Kenyir di sini.

“Tindakan segera penting bagi mengelak insiden tidak diingini termasuk kemungkinan haiwan liar terbabit dirempuh kendera­an yang lalu lalang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung mengesahkan harimau kumbang terbabit dikesan kembali muncul di Pengkalan Gawi pada pukul 11 malam, Sabtu lalu.

“Anggota Perhilitan negeri telah memasang perangkap di hutan simpan berhampiran pada pukul 9.30 pagi semalam (kelmarin).

“Sebelum ini, kamera perangkap juga telah dipasang pada 7 Julai lalu. Pemantauan akan diteruskan,” katanya.

Pada 9 Julai lalu, Kosmo! me­laporkan ramai penduduk di beberapa perkampungan sekitar Pengkalan Gawi mengambil langkah selamat kurang menunggang motosikal terutama untuk keluar bekerja ekoran kemunculan harimau kumbang terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN