fbpx

Rakyat miskin Jepun di ambang krisis makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Golongan gelandangan beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di taman Shinjuku Central, Tokyo pada 28 Disember 2009. – AFP

TOKYO – Penduduk miskin di Jepun berdepan krisis makanan berikutan kebimbangan disuarakan penyedia-penyedia bank makanan yang menjangkakan bekalan tidak dapat lagi memenuhi permintaan meningkat, lapor akhbar South China Morning Post kelmarin.

Ketika Jepun dan negara-negara lain di seluruh dunia diramal berdepan kemelesetan ekonomi akibat perang di Ukraine, penyedia bank makanan berkata, lebih banyak syarikat runcit dan orang persendirian mengurangkan komitmen terhadap tanggungjawab tersebut.

Menurut Kesatuan Bank Makanan Jepun, banyak syarikat runcit kini menghapuskan makanan yang tidak terjual sebelum mencapai tarikh luput dan dalam masa sama, terlalu sedikit maklumat yang boleh didapati mengenai golongan memerlukan.

“Secara asasnya, tiada ‘jaring keselamatan’ makanan untuk golongan paling memerlukan di Jepun.

“Selain itu, ramai penduduk tidak mempunyai akses kepada bantuan makanan kerana tidak banyak gereja atau majlis perbandaran yang menyediakan bantuan.

“Ya, memang terdapat bantuan lain turut disalurkan seperti pembayaran kebajikan, namun keperluan asas seperti makanan amat diperlukan,” kata ahli lembaga pengarah Kesatuan Bank Makanan Jepun, Iruma Tanaka.

Tambah Tanaka, keadaan itu diburukkan lagi apabila pandemik Covid-19 menyebabkan peluang pekerjaan dan masalah pengangguran menjadi krisis utama.

Menurutnya, banyak peluang pekerjaan sambilan dihapuskan apabila pandemik melanda yang mengurangkan kadar penggunaan berkurangan secara drastik.

“Pekerjaan-pekerjaan tersebut dijawat oleh individu yang kebiasaannya mempunyai tahap pendidikan rendah, di mana golongan tersebut amat memerlukan bantuan apabila mereka gagal mencari pekerjaan baharu.

“Mereka juga tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan kebajikan sosial,” jelasnya.

Tambah Tanaka, golongan tersebut kini berusaha mendapatkan bantuan bank makanan, yang disukarkan lagi dengan peningkatan inflasi di Jepun serta diburukkan oleh kelemahan mata wang yen.

Keadaan itu menjadikan kadar import lebih mahal, sekali gus melonjakkan harga barangan termasuk makanan asas.

Golongan individu dan premis runcit kecil-kecilan yang sebelum ini sering menyumbang kepada bank makanan dalam masa sama kini terpaksa berjimat-cermat dengan menggunakan bekalan makanan untuk kegunaan sendiri.

Selain itu, pengasas bank makanan Second Harvest Japan, Charles McJilton berkata, terdapat perubahan dari segi ciri demografi individu yang pergi ke bank makanan di Jepun ketika ini.

Jika sebelum ini, golongan pelarian dan warga asing yang bergelut untuk memulakan kehidupan di Tokyo menjadi kumpulan teramai mendapatkan bantuan makanan, trend itu kini berubah kepada lebih ramai golongan ibu tunggal serta warga emas.

“Jelas di sini bahawa lonjakan harga barangan telah mencetuskan ketidaktentuan. Saya meramalkan dalam tiga ke empat bulan akan datang, lebih ramai penduduk akan meminta bantuan daripada bank makanan,” ujarnya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI