fbpx

Penyakit bawaan air ancam rakyat Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak berehat di atas buaian yang dibina di atas air banjir di daerah Jaffarabad dalam wilayah Balochistan pada 31 Ogos lalu. - AFP

ISLAMABAD – Kekurangan akses kepada air minuman bersih mencetuskan risiko peningkatan penyakit dalam kalangan rakyat Pakistan ketika angka kematian akibat bencana banjir di negara itu kini melepasi 1,200 orang, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Menurut pertubuhan kemanusiaan, Medecins Sans Frontieres, isu tersebut menjadi masalah utama kepada penduduk yang bergelut untuk mencari makanan dan tempat perlindungan.

Keadaan tersebut seterusnya akan menjejaskan lebih ramai kanak-kanak yang berisiko mati akibat penyakit disebabkan kekurangan air bersih, kata Tabung Kanak-kanak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Kini, terdapat risiko tinggi bagi penyakit bawaan air yang membawa maut dan merebak dengan pantas seperti cirit-birit, taun, denggi dan malaria.

“Keadaan ini sekali gus akan menyebabkan lebih banyak kematian dalam kalangan kanak-kanak,” kata wakil UNICEF di Pakistan, Abdullah Fadil.

Kerajaan kelmarin mengadakan mesyuarat bagi menilai skala banjir di Pakistan yang kini telah menenggelamkan satu pertiga negara itu.

Setakat ini, kira-kira 1.4 juta kediaman telah musnah dalam hujan lebat terburuk yang telah menjejaskan lebih 33 juta penduduk. Ia merangkumi 15 peratus daripada populasi negara itu dengan sekurang-kurangnya satu daripada tiga mangsa adalah kanak-kanak, kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Pakistan, Dr. Palitha Mahipala.

“Kira-kira 6.4 juta penduduk amat memerlukan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Anggaran data menunjukkan bahawa bencana itu telah menyebabkan kerosakan bernilai sekurang-kurangnya AS$10 bilion (RM44.8 bilion) di Pakistan dengan ramai penduduk berdepan kekurangan bekalan makanan yang serius.

Selain itu, hampir separuh daripada hasil tanaman turut musnah di negara yang sedia terjejas akibat krisis ekonomi tersebut.

Seorang pegawai tertinggi pengurusan bencana berkata, 2022 membawa realiti buruk bagi perubahan iklim di Pakistan.

“Tahun ini, kita tidak mengalami musim bunga, sebaliknya mengalami gelombang haba yang telah menyebabkan kebakaran hutan berskala besar di seluruh negara,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI