KATHMANDU – Penduduk rantau Asia Selatan berdepan ‘bahaya serius’ daripada hujan lebat pada musim ini, walaupun monsun yang bakal tiba dijangka membawa taburan hujan keseluruhan lebih rendah daripada biasa dan berisiko menyebabkan kemarau, kata pakar-pakar dalam amaran mereka hari ini.
Banjaran Hindu Kush-Himalaya yang terbentang dari Afghanistan hingga ke Myanmar, menyimpan rizab ais dan salji terbesar di luar Benua Artik dan Antartika dan membekalkan air kepada sekurang-kurangnya 10 sistem sungai utama di Benua Asia yang menyokong keterjaminan air, makanan dan tenaga.
“Tinjauan menunjukkan monsun (tengkujuh) yang lebih kering secara keseluruhan, tetapi ini tidak bermakna risiko adalah lebih rendah.
“Hujan lebat singkat tetapi intensif masih boleh mencetuskan bahaya serius,” ahli hidrologi Pusat Antarabangsa untuk Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) berpangkalan di Kathmandu, Manish Shrestha.
Musim kering yang panjang diikuti hujan ekstrem meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh, tambahnya.
Bencana berkaitan cuaca yang membawa maut adalah situasi biasa semasa musim monsun dari Jun hingga September di Asia Selatan tetapi pakar-pakar berkata, perubahan iklim, ditambah dengan pembandaran, menyebabkan bencana alam semula jadi menjadi kerap dan lebih buruk.
Monsun membawa 70 hingga 80 peratus daripada hujan tahunan di Asia Selatan, adalah penting untuk pertanian, mata pencarian kepada berjuta-juta petani di rantau berkenaan yang dihuni kira-kira dua bilion orang. – AFP














