fbpx

Sekutu rapat Putin bimbang jadi sasaran seterusnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai penyiasat memeriksa keadaan lokasi letupan kenderaan yang mengorbankan Dugina, di luar Moscow, kelmarin. – AFP

MOSCOW – Sekutu-sekutu rapat Presiden Vladimir Putin kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas anak perempuan kepada dalang utama pencerobohan ke atas Ukraine terbunuh dalam insiden pengeboman kereta kelmarin, lapor akhbar The Sun.

Darya Dugina, 30, ialah anak kepada Alexander Dugin, yang dikenali sebagai ‘otak Putin’, yang juga merupakan sahabat karib Presiden itu.

Dugin dipercayai menjadi sasaran utama pengeboman tersebut apabila bahan letupan diletakkan di bawah kenderaannya, namun dia terselamat apabila bertukar kereta pada saat terakhir.

Pembunuhan itu mengejutkan barisan utama Kremlin sekali gus mencetuskan tuntutan dalam kalangan media pro Putin bagi melancarkan serangan nuklear ke atas Ukraine dan Barat.

Penganalisis-penganalisis  bagaimanapun meragui bahawa serangan tersebut didalangi Kiev, sebaliknya menuding jari ke arah Moscow sendiri.

Menurut beberapa penganalisis, serangan itu dilakukan untuk menakut-nakutkan penyokong tegar Putin seperti Dugin, yang dikatakan menjadi perancang utama bagi peperangan dengan Ukraine.

Kini, kebimbangan tercetus dalam kalangan jeneral-jeneral tertinggi Putin bahawa mereka mungkin menjadi sasaran seterusnya.

Syak wasangka itu terarah kepada pengikut setia Putin di tengah-tengah khabar angin bahawa ejen-ejen keselamatan mahu menggulingkan beliau daripada terus berkuasa.

Menurut ahli sejarah, Dr. Yuri Felshtinsky, bom kereta itu merupakan sebahagian daripada konflik dalaman Moscow yang diarahkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan untuk menjatuhkan Dugin.

“Letupan kereta milik ahli ideologi rejim Putin, Alexander Dugin, adalah dirancang dan kelihatan seperti dilakukan oleh perkhidmatan keselamatan Russia.

“Perkhidmatan khas Ukraine yang sedang terlibat dalam pertarungan maut dengan Russia tidak mungkin dapat menghantar pegawai-pegawai mereka ke Moscow untuk melancarkan serangan keganasan seperti itu,” kata Felshtinsky.

Dalam pada itu, penasihat kepada Presiden Volodymyr Zelenskyy, Mykhailo Podolyak menafikan Kiev terlibat dalam serangan tersebut.

“Kami bukan sebuah negara penjenayah, tidak seperti Russia, dan jelas bukan sebuah negara pengganas,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI