fbpx

Adakah sistem kereta api India selamat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat mencari mangsa di sebalik serpihan gerabak yang bertembung dalam nahas kereta api kelmarin. - AFP

NEW DELHI – Insiden nahas kereta api paling dahsyat di India dalam tempoh 20 tahun yang berlaku Jumaat lalu mencetuskan banyak persoalan mengenai tahap keselamatan sistem rangkaian rel yang besar namun dianggap ketinggalan zaman di negara itu, ketika New Delhi meningkatkan pelaburannya dalam memodenkan sektor berkenaan.

Sekurang-kurangnya 288 orang terbunuh manakala lebih 1,000 lagi cedera dalam nahas melibatkan  dua kereta api penumpang dan sebuah tren barang di negeri Odisha dan angka itu dijangka meningkat.

Pihak berkuasa telah mengarahkan satu siasatan bertaraf tinggi dijalankan bagi menentukan punca kemalangan itu.

Menteri Kereta Api, Ashwini Vaishnaw memaklumkan bahawa punca dan pihak yang bertanggungjawab dalam nahas itu telah dikenal pasti.

“Kami telah mengenal pasti punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atasnya,” kata Ashwini kepada agensi berita ANI sambil menambah, adalah ‘tidak wajar’ untuk mendedahkan butiran lanjut sebelum laporan penyiasatan akhir selesai.

Tren Coromandel Express yang dalam perjalanan dari Shalimar ke Chennai melanggar sebuah kereta api barang, menyebabkan sebilangan gerabak jatuh ke laluan bertentangan.

Dalam masa sama, kereta api Howrah Express dari Yesvantpur yang sedang bergerak di laluan bertentangan pula merempuh gerabak-gerabak yang terbalik itu pada kelajuan tinggi.

Namun, ketika pihak berkuasa bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat, para penyiasat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti tahap keselamatan dalam infrastruktur kereta api di India yang membawa kepada tragedi tersebut.

Rangkaian kereta api di India mengendalikan kira-kira 11,000 tren setiap hari di landasan sepanjang  107,826 kilometer (km) di seluruh negara.

Meskipun statistik kerajaan menunjukkan kes kemalangan dan tren tergelincir menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia masih kerap berlaku.

Rekod Jenayah Kebangsaan mencatatkan lebih 16,000 orang terbunuh dalam hampir 18,000 kemalangan di landasan kereta api seluruh India pada 2021.

Bekas pengerusi Lembaga Kereta Api India, Vivek Sahai memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa tren tergelincir dari landasan terus menjadi masalah utama dalam insiden nahas kereta api.

“Sebuah kereta api boleh tergelincir disebabkan beberapa faktor, antaranya tidak diselenggara dengan baik, kerosakan gerabak dan kesilapan dalam pemanduan,” ujarnya.

Satu laporan keselamatan laluan kereta api 2019-2020 mendapati kira-kira 70 peratus daripada kemalangan tren berpunca daripada tergelincir, meningkat 68 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia diikuti dengan kebakaran dan pelanggaran antara kereta api dengan masing-masing merangkumi 14 peratus dan lapan peratus daripada jumlah kemalangan keseluruhan.

Dalam menangani masalah itu, menambah baik infrastruktur pengangkutan di India menjadi keutamaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi yang meningkatkan perbelanjaan modal ke atas lapangan terbang, jalan raya, pembinaan lebuh raya serta projek-projek infrastruktur lain bagi tahun fiskal bermula April lalu.

Sebahagian besar perbelanjaan disasarkan untuk membangunkan kereta api berkelajuan tinggi menerusi bajet terbaharunya yang turut terdiri daripada peruntukan AS$29 bilion (RM132 bilion) bagi pembangunan landasan.

Dengan 8,000 km landasan dinaik taraf setiap tahun, ia disasarkan dapat menampung tren yang boleh bergerak pada kelajuan 100 km sejam (km/j), 130 km/j serta sehingga 160 km/j.

Satu rangka kerja Pelan Kereta Api Kebangsaan turut diumumkan pada 2021, yang akan menghubungkan semua bandar di utara, barat dan selatan India menerusi jaringan kereta api berkelajuan tinggi. – AFP/Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI