DALLAS – Penyerang Sweden, Viktor Gyokeres berpendapat gabungan pelbagai elemen menjadikan Sweden sebagai pasukan yang bakal menyinar pada kempen Piala Dunia 2026.
Walaupun pernah melalui detik turun naik bersama pasukan, Gyokeres tetap bangga dengan prestasinya dan nekad untuk menghadirkan impak besar pada penyertaan kali ini.
“Saya gembira dengan (prestasi) diri saya dan pasukan yang akhirnya berjaya layak ke Piala Dunia. Ia adalah gabungan pelbagai elemen dan pastinya banyak perkara (baik) yang boleh kami ambil.
“Untuk melakukan apa yang saya lakukan dengan memenangi perlawanan pastinya menjadi suntikan moral kepada saya dan pasukan,” katanya merujuk kepada prestasinya dan pasukan di pentas Liga Negara-Negara Eropah.
Peningkatan prestasi The Blue and Yellow pastinya berpunca daripada pelantikan Graham Potter sebagai pengendali pasukan pada Oktober lalu dan Gyokeres nyata gembira untuk melihat peningkatan pasukan.
Gyokeres yang masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal menganggap Potter berjaya membawa aura positif dalam pasukan.
“Beliau (Potter) mahu kekal dengan perancangan dan mahu kami menikmati setiap perlawanan serta mahu kami sedar betapa bermaknanya penyertaan di Piala Dunia buat seluruh Sweden,” katanya. – AGENSI














