GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dan pertukaran mata wang kripto (USDT) yang menyasarkan mangsa warga China menerusi serbuan di sebuah premis di Batu Ferringhi di sini, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu membawa kepada penahanan lima warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun.
“Siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan pusat panggilan (call centre) bagi menjalankan penipuan pelaburan dan pertukaran mata wang kripto yang tidak wujud secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari China.
“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 10 telefon bimbit, empat komputer riba, satu unit CPU, dua papan kekunci, tiga tetikus, sebuah router dan sebuah monitor yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut,” katanya di sini, malam ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis berjaua menumpaskan satu sindiket pusat panggilan (call centre) yang mempromosikan pelaburan tidak wujud dengan menyasarkan mangsa warga Singapura menerusi serbuan di sebuah premis di Butterworth, di sini semalam.
Tambahnya, operasi hasil maklumat Ops Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara itu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 36 tahun.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjalankan aktiviti pusat panggilan bagi mempromosikan pelaburan tidak wujud secara dalam talian menggunakan platform media sosial Tantan.
“Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah lima telefon bimbit, tiga komputer riba, sebuah modem, satu kad akses dan satu unit kunci rumah yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














