BOGOTA – Satu serangan bom di sebuah lebuh raya dalam wilayah bergolak di barat daya Colombia telah mengorbankan 14 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 38 yang lain semalam, yang merupakan siri keganasan terbaharu menjelang pilihan raya presiden bulan depan.
Pihak berkuasa menyalahkan serangan di wilayah Cauca itu kepada tentera gerila FARC yang kini telah dibubarkan. Kumpulan pembangkang itu dituduh menyebarkan keganasan di seluruh negara.
“Mereka yang melakukan serangan ini adalah pengganas, fasis dan pengedar dadah,” kata Presiden Gustavo Petro di platform X.
“Saya mahu tentera terbaik kita berhadapan dengan mereka,” tambahnya.
Pemimpin berhaluan kiri itu menyalahkan pengeboman tersebut kepada Ivan Mordisco, penjenayah paling dikehendaki di negara Amerika Selatan itu.
Letupan di Lebuhraya Pan-Amerika itu merosakkan bas dan van, manakala beberapa buah kereta terbalik akibat kekuatan letupan. Sebuah kawah besar turut terbentuk di jalan raya.
Mayat mangsa-mangsa yang bergelimpangan di atas tanah di tengah-tengah bangkai kereta ditutup dengan kain.
“Ia adalah serangan pengganas terhadap penduduk awam,” kata ketua tentera, Hugo Lopez pada sidang akhbar.
“Bom itu meletup selepas penyerang menghentikan lalu lintas dengan menyekat jalan raya menggunakan sebuah bas dan sebuah lagi kenderaan,” tambahnya. – AFP














