fbpx

Suami, isteri aktif terlibat jenayah pecah rumah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zahir (tengah) menunjukkan surat pajak gadai yang dirampas selepas menahan sepasang suami dan isteri yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah pada sidang akhbar di IPD Machang hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI

MACHANG – Sepasang suami isteri yang dipercayai aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jebak, Jalan Machang, Jeram Pasir Puteh dekat sini, Khamis lalu.

Serbuan dijalankan kira-kira pukul 5.45 petang dan polis turut merampas pelbagai barangan dianggarkan mencecah RM100,000 disyaki hasil daripada kegiatan yang dilakukan oleh pasangan berusia 30-an itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd. Zahir Abdullah berkata, pasangan terbabit berasal dari Kota Bharu dan menjalankan kegiatan pecah rumah di kawasan terpencil sekitar Kampung Banggol Judah di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mereka melakukan kegiatan itu antara pukul 1 hingga 3 pagi ketika kesemua mangsa sedang nyenyak tidur.

“Suspek dipercayai masuk ke rumah mangsa melalui tingkap sisip angin di dalam bilik atau bilik air sebelum bertindak melarikan barangan mangsa.

“Semakan turut mendapati, lelaki itu mempunyai sembilan rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah. Selain itu, kedua-dua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zahir, polis turut merampas sebanyak 14 buah beg galas, 11 telefon bimbit, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pelbagai jenis barang kemas, wang tunai dan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dalam serbuan itu.

Katanya, selain itu, pihaknya menemui sebanyak tujuh keping surat pajak gadai bernilai RM50,000 yang dipercayai hasil daripada gadaian barang kemas dicuri dari rumah mangsa di kawasan Pasir Puteh.

“Dengan tertangkap pasangan terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan sebanyak enam kes pecah rumah di daerah ini.

“Kita sedang mengesan kemungkinan ada individu lain yang terbabit dalam kegiatan itu. Setakat ini, pasangan terbabit mengaku hanya mereka berdua melakukan kegiatan itu,” katanya.

Tambah Mohd. Zahir, pasangan terbabit direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI