fbpx

36 NGO desak henti serta-merta projek musang king

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian ahli 36 NGO dan penduduk mendesak projek ladang durian musang king di Hutan Simpan Gunung Inas dihentikan serta-merta di tapak tragedi bencana kepala air di Kampung Iboi, Kupang hari ini. FOTO: SHAHIR NOORDIN

BALING – Sebanyak 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya projek ladang durian musang king di Hutan Simpan Gunung Inas di sini dihentikan serta-merta dan digantikan dengan pokok balak spesies asal hutan tersebut.

Desakan itu dibuat lebih 200 ahli NGO terlibat dalam himpunan di lokasi kejadian kepala air dan banjir di Kampung Iboi, Kupang di sini hari ini.

Antara NGO terlibat ialah Kelab Sahabat Alam Sik, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia.

Penasihat Kelab Sahabat Alam Sik, Mohd. Sobri Ramlee berkata, desakan dibuat berikutan tragedi kepala air dan banjir yang mengorbankan tiga nyawa dan menjejaskan lebih 1,500 penduduk di Kupang.

“Penebangan hutan Gunung Inas untuk memberi laluan kepada ladang durian musang king dipercayai menjadi punca banjir di Baling yang melanda 42 kampung dan kawasan perumahan.

“Walaupun amaran berulang-kali diberikan oleh penduduk kampung, pencinta alam dan NGO sejak 2018, malangnya segala usaha tersebut tidak dipedulikan sehingga mengakibatkan kemusnahan yang besar,” katanya dalam perhimpunan tersebut.

Katanya, pihaknya mewakili gabungan NGO itu juga mendesak supaya kerja-kerja pemulihan hutan yang diteroka itu dibuat dengan kadar segera bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Tanaman durian musang king tidak disenaraikan di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Ia juga bukan spesies pokok yang disyorkan untuk penanaman semula oleh jabatan hutan itu.

“Malah, kita tidak bersetuju kawasan hutan simpan diteroka untuk dibuat ladang hutan secara skala besar walaupun ia daripada spesies getah klon balak. Kita mahu kawasan tersebut ditanam dengan pokok balak spesies asal di hutan itu,” ujarnya.

Dakwa Mohd. Sobri, selain Gunung Inas, dua lagi kawasan yang dilakukan penebangan hutan ialah Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik dekat sini.

“Dua kawasan itu bagaikan bom jangka yang dikhuatiri berlaku bencana seperti di Gunung Inas ini yang mana kawasan perkampungan di situ pernah dilanda banjir sebelum ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI