GEORGE TOWN – Persiapan penganjuran Sukan SEA 2027 di Pulau Pinang kini sudahpun mencapai 85 peratus setelah dua venue dipilih sebagai gelanggang pertaruhan enam jenis sukan yang akan dipertandingkan nanti.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, venue di Spice Arena dan Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) bakal menjadi lokasi pertandingan sukan dalam bangunan iaitu sepak takraw, snuker, billiard, judo, tinju, ping pong dan floorball.
Menurut, pemilihan rasmi venue adalah di bawah bidang kuasa Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027 dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkaitan.
“Segala persiapan venue pertandingan di beberapa negeri terlibat berjalan lancar dan lawatan ke Pulau Pinang ini bertujuan memahami keadaan semasa fasiliti serta keperluan teknikal setiap venue sebagai input kepada pihak penganjur.
“Setakat ini persiapan di negeri ini telahpun mencapai 85 peratus dan sebarang kerja naik taraf atau penambahbaikan adalah tertakluk kepada perancangan pemilik venue dan pihak berkaitan.
“Kementerian Belia dan Sukan akan terus memainkan peranan menyelaras dan menyokong dari segi dasar serta ekosistem pembangunan sukan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan di Spice Arena yang merupakan venue bagi sukan sepak takraw dan billiard manakala PWCC merupakan lokasi untuk sukan ping pong, floorball, tinju dan judo.
Lawatan beliau ke lokasi acara sukan berprestij itu juga merupakan sebahagian daripada penilaian kesiapsiagaan venue di Pulau Pinang.
Pada Sukan SEA 2027, Malaysia telah menyenaraikan 38 jenis sukan sebagai taruhan awal pada temasya yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September itu.
Senarai yang merangkumi sukan bertaraf Olimpik itu diputuskan secara strategik dengan mengambil kira venue sedia ada terutama menganjurkan empat negeri berbeza iaitu Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu adalah pada 2017 dengan ketika itu kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa. -KOSMO! ONLINE














